KEUNIKAN ‘pemain ke-12’ Bali United mungkin tidak terdapat di Malaysia yang mendapat sokongan penuh daripada pihak kelab.
Selepas perlawanan Piala AFC 2022, Kumpulan G bertemu Kedah Darul Aman FC penyokong Bali United yang digelar Serdadu Tridatu bertindak menyalakan lampu belakang telefon pintar masing-masing sebaik lampu limpah stadium dimatikan.
Penulis pada mulanya mengandaikan pihak berkuasa stadium mahu penyokongnya segera beredar meninggalkan bangku penonton, tetapi sebaliknya berlaku.
Peminat dan penyokong serta juruacara sama-sama menyanyikan lagu semangat Bali United dan suasana di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar cukup meriah dengan lambaian kilauan cahaya dari telefon.
Meremang bulu roma kami ketika saat itu dan seluruh stadium bersorak dan berchanting. Sebaik tamat, lampu limpah kembali dipasang dan diberi tepukan gemuruh para penonton dianggarkan hampir 10,000 yang hadir.
Malahan, sepanjang perlawanan penyokong tuan rumah juga tidak henti-henti membakar moral dan suntikan motivasi termasuk lagu popular kelab Liverpool, You’ll Never Walk Alone.
Hujan lebat semasa permainan juga tidak memberi kesan apabila mereka tidak berganjak dari tempat duduk, malah kekal berdiri sebagai tanda sokongan kepada kelab tersayang.
Sayang sekali, kami mungkin tidak lagi berkesempatan kembali melihat senario sebegini memandang skuad bimbingan bekas jurulatih yang pernah bersama Kuala Muda Naza pada 2009, Stefano Cugurra akan bermain pada sebelah petang menentang kelab Kemboja, Visakha pada Isnin sebelum melengkapkan jadual pertandingan bertemu Kaya FC dari Filipina 30 Jun ini
Untuk info, terdapat juga pusat jualan butik jersi yang dinamakan Bali United Store yang memudahkan para peminat setia mereka mendapatkan barangan sukan dan cenderahati.
Stadium Kapten I Wayan Dipta juga pernah menjadi tuan rumah Piala Presiden 2015, 2017, dan 2018, dan pernah menjalankan kejohanan pramusim Bali Island Cup 2015, 2016, dan 2017.
Salam dari Kuta, Bali !