PENGALAMAN ‘orang lama’ di pentas Piala AFC 2022 mungkin boleh digunakan Kedah Darul Aman (KDA) FC sebagai senjata rahsia menjelang pertembungan dengan juara Liga 1 Indonesia, Bali United malam ini.

Azammuddin Akil, 37 yang berpengalaman di saingan kelab Asia Tenggara ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi taruhan terbaik Sang Kenari mengukuhkan jentera serangan.

“Jika diberi peluang cuba buat yang terbaik untuk pasukan bagi apa pengalaman yang ada. Kempen Piala AFC berbeza dengan liga dan kita kena bagi lebih lagi untuk pasukan.

“Saya nampak ada perubahan dalam skuad KDA FC di tambah kemasukan pemain baru. Kami harap pasukan akan bagi yang terbaik untuk pertandingan ini,” ujarnya kepada Flash Sukan.

Menerusi perkongsian Twitter @AFCCup pada 15 Jun pemain bola sepak profesional yang berasal daripada Kuala Lipis, Pahang itu sempat menyumbat gol untuk JDT dalam salah satu perlawanan Piala AFC.

Ditanya peluang KDA FC mencipta kejutan pada aksi pembukaan Kumpulan G bertemu Bali United, Azammuddin percaya kemampuan rakan sepasukan dan taktikal daripada jurulatih Aidil Sharin Sahak.

“Kami yakin boleh mencipta kemenangan kerana Bali pun tak jauh berbeza dengan kami. InshaAllah kami akan bagi aksi yang terbaik perlawanan pertama nanti,” ujarnya lagi.