PENAMPILAN kali ketiga Kedah Darul Aman (KDA) FC di pentas Asia tidak seperti dirancang apabila tewas 2-0 bertemu Bali United aksi pembukaan Kumpulan G Piala AFC 2022 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar di Bali malam ini.
Hujan lebat sebelum dan semasa perlawanan tidak menghalang penyokong Serdadu Tridatu hadir memberi sokongan padu dengan nyanyian dan laluan gendang.
Kedua-dua pasukan terpaksa beraksi keadaan padang yang basah dan lembap dengan penguasaan bola 68 peratus jelas milik Bali United.
Kedah berjaya menciptakan peluang pertamanya di minit ke-41 namun tendangan yang dilepaskan Mahmoud Al Mardi ditepis dengan sangat baik oleh Nadeo Argawinata.
Malang buat Sang Kenari apabila Ngah Wanja terjaring gol sendiri pada penghujung babak pertama memberikan tuan rumah pendahuluan sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, pertukaran dilakukan oleh Aidil Sharin Sahak dalam usaha mencari jaringan penyamaan namun gagal sehinggalah Bali United tampil garang dan menyumbat gol tambahan menerusi pemain gantian, Rahmat Syamsuddin Leo m-81.
Kedah selepas ini akan bertemu kelab Filipina, Kaya FC pada Isnin dalam misi hidup mati mereka kejohanan Piala AFC 2022.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan kelab Kemboja Visakha FC mengalahkan Kaya FC 2-1 yang bangkit memperoleh jaringan menerusi C Ken m-47 dan Ty Sa m-59 sekaligus memadamkan kelebihan awal gol A A Amita di babak pertama.
Senarai pemain :
BALI UNITED (4-3-3)
Nadeo Argawinata; Andhika Wijaya, Willian Pacheco, Leonard Tupamahu, Ricky Fajrin; Rizky Pellu, Brwa Nouri, Eber Bessar; Privat Mbarga, Ilija Spasojevic, Irfan Jaya
Jurulatih: Stefano Cugurra
KEDAH DARUL AMAN FC (4-4-2)
Ifwat Akmal; Kamil Akmal Halim, Mohd Akmal bin Md Zahir, Rodney Celvin, Azmeer Aris Nor Rashid; Al-Hafiz Harun, Amirul Hisyam Awang Kechik, Dechi Marcel N’Guessan, Mahmoud Al-Mardi; Sanrawat Dechmitr, Ronald Ngah
Jurulatih: Aidil Sahak