KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC Stanley Bernard Samuel ternyata berpuas hati dengan persembahan yang diberikan oleh pasukan selepas berjaya layak ke peringkat separuh akhir zon Asean Piala AFC 2022.
Stanley menyatakan ianya adalah satu persembahan yang menakjubkan terutama bagi sebuah kelab yang sedang berkembang dan mereka bersedia untuk menghadapi peringkat seterusnya.
Bekas pemain kebangsaan ini juga menyatakan bahawa pengurusan Kuala Lumpur City tidak akan meletakkan sasaran yang melampau sebaliknya lebih kepada sasaran yang realistik bagi mengelakkan tekanan kepada pasukan.
“Satu persembahan yang menakjubkan. Bagi saya kita harus menang lebih besar tetapi apa yang penting adalah kita berjaya menang untuk layak. Ianya satu pencapaian mengagumkan bagi kelab yang masih dalam fasa permulaan.
“Kami memang meletakkan sasaran untuk Piala AFC ini adalah untuk layak ke peringkat seterusnya dan kini kami bersedia untuk ke Vietnam. Pengurusan KL City juga bukanlah kelab yang meletakkan tekanan yang berlebihan sebaliknya kami meletakkan tekanan realistik dan ianya membuahkan hasil.
“Tahun ini banyak pasukan belajar tentang pasukan kami kerana mereka mula mengambil serius kehadiran kami. Bahagian pengurusan akan sentiasa memberikan sokongan yang terbaik kepada barisan kejurulatihan agar mereka dapat mempersiapkan pasukan untuk menghadapi cabaran peringkat seterusnya,” katanya kepada Flash Sukan.
Kuala Lumpur City FC dijadualkan akan bertemu kelab Vietnam, Viettel FC pada Ogos nanti dan pastinya pihak pengurusan mahukan aksi terbaik ditunjukkan oleh para pemain.