MISI mengutip kemenangan dalam baki dua perlawanan peringkat Kumpulan G Piala AFC 2022 harus dicapai Kedah Darul Aman (KDA) FC jika ingin terus mengibarkan cabaran Malaysia di pentas Asia.

Kekalahan kepada Bali United pada saingan pembukaan meletakkan Skuad Kenari bimbingan Aidil Sharin Sahak terperosok di tangga terbawah kumpulan.

Namun, pengendali asal Singapura itu masih percaya peluang anak buahnya tetap ada untuk berada dalam persaingan.

“Kami akan bertemu Kaya FC selepas ini yang turut kalah dalam perlawanan pertama mereka.

“Saya rasa perjuangan kami dalam kumpulan tetap terbuka dan akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk aksi itu nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Gianyar, Bali pada Jumaat.

Akui Aidil, Bali United selaku tuan rumah jelas menguasai permainan dan kealpaan saat akhir pemain dalam kedua-dua babak menyebabkan pintu gawang mereka dua kali dibolosi.

Sementara itu, pemain sayapnya, Syazwan Zainon memberitahu permulaan perlahan KDA FC membuka ruang Serdadu Tridatu mengawal keseluruhan rentak perlawanan.

“Pada hujung saingan, Bali dapat gol dan kami cuba mendominasi permainan tapi jaringan kedua Bali yang hadir menyebabkan ia menjadi sukar,” kata pemain berusia 32 tahun ini.

Statistik menunjukkan Kedah hanya mampu mencipta 32 peratus penguasaan bola dan sekadar lima percubaan sepanjang babak pertama.

Malah, pergerakan Ngah Wanja dirantai kemas pertahanan Bali United sehingga menyukarkan penyerang itu mempamerkan prestasi terbaik sepanjang 90 minit diturunkan.

KDA FC kini menduduki tangga terbawah kumpulan tanpa sebarang mata dan tiada pilihan wajib menewaskan Kaya FC di Gianyar pada Isnin.

Saingan kumpulan Piala AFC berlangsung secara liga sepusingan dengan juara kumpulan dan satu naib juara terbaik antara tiga kumpulan Zon ASEAN akan layak ke peringkat seterusnya.