SABAH FC mahukan tiga mata penuh apabila berkunjung ke Stadium Jalan Besar bertemu Hougang United FC dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC pada Khamis bagi memastikan mereka berada pada situasi yang lebih baik dalam kedudukan kumpulan.
Skuad The Rhinos kini mengumpul sembilan mata dari empat perlawanan dan kemenangan bakal menjamin laluan cerah ke peringkat zonal Asean sebagai juara kumpulan dan pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee hanya mahu pemainnya terus fokus sepanjang perlawanan.
“Sudah tentu perlawanan yang penting buat kedua-dua pasukan dan saya jangkakan satu aksi yang sukar kerana Hougang baru sahaja mendapat keputusan yang bagus menentang Lion City dalam liga dan atas sebab itu kami tidak mengambil mudah dan fokus sepenuhnya pada aksi ni dan berharap mendapat keputusan yang positif.
“Kita tahu Hougang adalah pasukan yang baik dengan intensiti yang berbeza di mana mereka mahukan keputusan yang baik dan kami juga mahukan keputusan yang boleh meletakkan kami pada situasi yang lebih baik.
“Kami perlu sentiasa fokus dan menjangkakan sesuatu yang berbeza dibawakan Hougang berbanding ketika pusingan pertama tetapi saya percaya dengan momentum yang kami ada dan disiplin yang ditunjukkan pada beberapa perlawanan lepas, kami akan mencapai apa yang kami mahukan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Kim Swee juga perlu melihat terlebih dahulu keadaan para pemainnya terutama pemain kebangsaan yang keletihan akibat jadual yang padat namun dia yakin dapat menurunkan kesebelasan utama terbaik bagi memastikan Sabah membawa pulang tiga mata.
“Kami tahu kami sudah di penghujung musim jadi banyak kecederaan dan kelelahan pemain terutama pemain kebangsaan dan ini memaksa kami melakukan penggiliran pemain tetapi untuk esok kami akan turunkan barisan terbaik,” jelasnya.
Bekas pengendali Harimau Muda itu turut gembira dengan perkembangan positif yang ditunjukkan kelab-kelab Malaysia di peringkat Asia dan dia mahu Sabah FC meneruskan rentak cemerlang itu kerana ianya akan memberikan keyakinan kepada penyokong tentang kualiti yang ada pada Liga Super Malaysia.
“Ianya adalah senario yang sangat baik apabila pasukan kebangsaan sedang dalam keadaan yang baik begitu juga dengan JDT di ACL serta Sabah dan Terengganu di Piala AFC yang membuktikan kami tidak jauh ketinggalan.
“Apa yang penting adalah kami teruskan apa yang kelab lain telah lakukan dan pada masa yang masa dalam musim pertama kami di sini, saya harap kami mampu mara lebih jauh kerana keyakinan akan menjadi lebih tinggi bukan sahaja di kalangan pemain dan jurulatih tetapi juga penyokong dan mereka tahu bahawa Liga Super Malaysia adalah salah satu liga terbaik di Asia Tenggara,” jelasnya.
Tiga mata akan menjamin Sabah kedudukan teratas Kumpulan H dan akan layak ke peringkat seterusnya sebagai juara kumpulan tetapi jika keputusan yang tidak memihak kepada Sabah, mereka perlu menunggu perlawanan terakhir pada pertengahan Disember bagi memastikan kemaraan ke peringkat seterusnya.