SKUAD Sabah FC menjadi pasukan pertama menjalani latihan pada 2024 sebagai persiapan awal menghadapi aksi separuh akhir zonal Piala AFC 2023-24 bertemu wakil Australia, Macarthur FC yang dijadualkan pada 13 Februari.

Menjadi wakil tunggal Malaysia yang masih bersaing di peringkat kelab Asia, pemain-pemain Sang Badak dilihat bersemangat menjalani latihan di bawah seliaan pembantu seperti yang dimuat naik laman sosial rasmi kelab.

Beberapa tonggak utama termasuk Khairul Fahmi Che Mat dan Park Tae-su dilihat menjalani persiapan awal selepas berakhir musim 2023 yang menyaksikan Sabah menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga di belakang juara, Johor Darul Ta’zim dan naib juara, Selangor FC.

Aksi separuh akhir zonal Piala AFC ini bakal menjadi pentas terbaik buat Sabah FC memulakan musim baharu Liga Malaysia 2024-25 meskipun kempen hanya akan bermula pada Mei dengan para pemain sudah bersedia awal dengan latihan pra musim.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee akan bertandang ke Campbelltown, Australia, kira-kira 30km dari kota Sydney untuk memburu kemenangan sekaligus layak ke peringkat akhir zon Asean bertemu sama ada satu lagi wakil Australia, Central Coast Mariners atau kelab Kemboja, Phnom Penh Crown.

Jika berjaya memenangi aksi ke atas Macarthur, Sabah bakal beraksi dalam final di Stadium Likas selepas undian dilakukan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan menjadi tonik tambahan buat para pemain untuk berpeluang beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Sabah layak ke peringkat separuh akhir zonal Asean selepas muncul juara Kumpulan H dengan mengenepikan cabaran Haiphong FC, PSM Makassar dan Hougang United.