SKUAD Sabah FC berlepas ke Sydney, Australia pada Jumaat dengan azam mencipta sejarah baharu buat kelab apabila berhadapan Macarthur FC untuk aksi separuh akhir zonal Piala AFC 2023-24.
Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu layak ke peringkat kalah mati selepas mengungguli Kumpulan H dan jika meraih kemenangan di Campbelltown, ianya pasti akan menjadi sejarah untuk rakyat Sabah dan juga seluruh penyokong bola sepak tempatan.
Namun begitu, Sabah dilihat akan turun sebagai pasukan ‘underdog’ kerana meskipun bergelar juara kumpulan, Sang Badak kekurangan perlawanan kompetitif selepas saingan liga berakhir pada Disember 2023 dan musim baharu hanya bermula pada Mei 2024.
Meskipun sudah berlatih lebih awal ditambah dengan kembalinya pemain-pemain yang mewakili skuad kebangsaan di Piala Asia, kekurangan perlawanan kompetitif dijangka akan menjadikan aksi di Australia sedikit sukar.
Atas faktor itu, Sabah bakal turun sebagai pasukan ‘underdog’ dengan Macarthur kini mempunyai minit permainan yang tinggi kerana Liga Australia masih berlangsung dengan menyajikan aksi kompetitif.
Berdasarkan latihan, para pemain Sabah dilihat berada pada keadaan yang terbaik tetapi kekurangan perlawanan persahabatan pastinya sukar untuk melihat sendiri tahap kecergasan pemain terutama ketika perlawanan kompetitif.
Namun begitu dengan pengalaman luas yang ada pada pengendali, Datuk Ong Kim Swee serta para pemain di peringkat Asia, Sabah dijangka mampu menghadirkan tentangan buat Macarthur dan sedia untuk mencipta sejarah baharu kelab.
Jika berjaya memenangi perlawanan ini, Sabah akan kembali ke Stadium Likas untuk bertemu pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir zonal antara Central Coast Mariners atau Phnom Penh Crown sekaligus bakal menyaksikan satu era baharu buat Sabah di peringkat Asia.