SABAH FC berjaya layak ke peringkat zonal semi final Piala AFC apabila mengesahkan tempat sebagai juara Kumpulan H selepas menewaskan Hougang United 4-1 dalam aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan sempat terhenti hampir 20 minit kerana amaran kilat sejurus gol sendiri yang dihasilkan oleh Naoki Kuriyama selepas dia tertolak masuk hantaran lintang Daniel Ting pada minit ke-15.

Selepas aksi kembali bersambung, keadaan padang yang bertakung sedikit menggangu ritma permainan namun anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee sabar mengatur gerak dan berhasil mendapatkan sepakan penalti selepas Miguel Cifuentes dijatuhkan.

 

Darren Lok mudah menyempurnakan penalti pada minit ke-45 untuk gol kedua Sabah dan juga gol keenam peribadinya dalam kancah Piala AFC musim ini untuk Sang Badak selesa berkelebihan dua gol ketika berakhir babak pertama.

Sabah meneruskan rentak menyerang sejurus babak kedua bersambung dan berhasil mendapat gol ketiga apabila Ramon Machado melakukan voli yang menarik selepas menerima umpanan cantik Cifuentes untuk gol ketiga.

Kim Swee melakukan beberapa pertukaran sejurus mendahului tiga gol kerana Sabah masih mempunyai perlawanan liga yang perlu ditempuhi pada Ahad dan ini adalah peluang buat mereka merehatkan pemain utama.

Seakan tidak cukup dengan tiga jaringan, Sabah terus melancarkan serangan demi serangan tetapi dihampakan palang gol dan ketumpulan penyudah walaupun mempunyai banyak peluang di depan gol Hougang United.

Sabah menambah gol keempat pada minit ke-78 menerusi satu lagi gol sendiri kali ini dari Anders Aplin yang tertolak masuk hantaran cantik Rizal Ghazali untuk memberikan kemenangan bergaya buat Sabah.

Hougang United mendapat gol saguhati menerusi jaringan Gabriel Quak pada masa kecederaan untuk menjadikan kedudukan 4-1 dan Sabah mengesahkan kemenangan keempat dari lima perlawanan dan mata ke-12 yang menyaksikan mereka layak ke peringkat zonal semi final mengikut jejak langkah Kuala Lumpur City FC musim lalu.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, PSM Makassar terikat 1-1 dengan Haiphong FC dalam aksi di Stadium I Wayan Dipta, Gianyar Bali yang membuka peluang buat Sabah bergelar juara kumpulan.