KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu para pemainnya mengekalkan momentum dan rentak cemerlang apabila berhadapan PSM Makassar dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC meskipun sudah layak ke peringkat semi final zonal.
Kelayakan awal itu memberikan kelebihan buat Sabah mencaturkan pemain kerana mereka perlu menghadapi satu lagi perlawanan penting pada hujung minggu berhadapan Kedah Darul Aman FC untuk menentukan tempat ketiga Liga Super.
“Persiapan berjalan seperti biasa selepas berehat beberapa hari kami kembali berlatih dan perlawanan terakhir ini cukup penting untuk kami kekalkan momentum seperti mana kita lakukan dengan pasukan Hougang United sebelum ini ditambah kita akan hadapi perlawanan yang cukup penting pada Ahad nanti dalam Liga Super.
“Walaupun sudah layak, kita ingin kekalkan momentum dan sesiapa pun yang diturunkan saya percaya mampu menjalankan tugas untuk kita kekalkan prestasi seterusnya untuk memastikan kita tidak kehilangan mata.
Semua pemain dalam keadaan baik kecuali Gary Steven Robbart dan Gabriel Peres yang masih belum pulih sepenuhnya namun kita masih mempunyai masa untuk menentukan siapakah yang bakal diturunkan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Kim Swee juga sudah mula mencongak siapa lawan yang bakal dihadapi di peringkat semi final zonal pada Februari 2024 namun dia menekankan perlunya ada persiapan pasukan yang rapi kerana musim sudah berakhir dan pertukaran pemain mungkin berlaku ketika pra musim.
“Saya tidak boleh katakan yang kami adalah pasukan pilihan sebelum bermula peringkat kumpulan kerana kita tahu pasukan Haiphong, PSM Makassar dan Hougang United adalah pasukan yang cukup baik.
“Namun dengan tahap disiplin dan prestasi yang semakin meningkat terutama di penghujung musim membolehkan kita layak terlebih dahulu dan ini memberi satu impak yang cukup positif namun untuk pusingan seterusnya sudah tentu kita lebih bersiap sedia.
“Apa yang penting kita harus pastikan perancangan latihan selepas berakhirnya musim ini mungkin akan melibatkan ‘pre season‘ dan ‘off season‘ kerana kita tidak tahu siapa yang akan ditemui pada peringkat separuh akhir zonal nanti,” jelasnya.
Sementara itu kapten pasukan, Park Tae-su juga senada dengan jurulatihnya untuk meneruskan momentum cemerlang dan dia mahu memberikan aksi terbaik kepada para penyokong sebelum aksi penting menentang Kedah pada Ahad.
“Pasukan kami bersedia dengan baik dan kami akan lakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan ini. Walaupun sudah layak tetapi kami mahu mengekalkan momentum untuk perlawanan terakhir liga kerana mahu mendapat tempat ketiga,” katanya dalam sidang media yang sama.
Pada perlawanan kedua kumpulan Oktober lalu, Sabah berjaya membenam PSM Makassar 5-0 dalam aksi di Bali dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mengulangi pencapaian yang sama di hadapan penyokong sendiri.