KETUA jurulatih Haiphong FC, Chu Dinh Nghiem mengakui pasukannya hadir ke Kota Kinabalu tanpa beberapa pemain tonggak namun masih optimis dapat mencuri satu mata dalam perlawanan keempat Kumpulan H Piala AFC.
Haiphong FC berjaya menewaskan Sabah 3-2 ketika perlawanan ketiga di Haiphong dua minggu lalu dan mahu memberikan aksi terbaik walaupun sedar bukan mudah bertemu skuad Badak di hadapan penyokong sendiri.
“Kami hadir ke sini tanpa beberapa tonggak utama kerana kecederaan selepas perlawanan domestik di Vietnam tetapi kami yakin mampu memberikan saingan dan misi kami adalah untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata.
“Selepas menang di tempat sendiri kami sudah mengenalpasti kekuatan pasukan Sabah dan kami perlu mengawasi tiga pemain yang berbahaya iaitu Ramon Machado, Darren Lok dan Saddil Ramdhani jika ingin mengelak dari kekalahan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Likas.
Sementara itu, penyerang Haiphong FC, Joseph Mpande tidak gusar dengan keadaan cuaca panas di Sabah sebaliknya hanya fokus kepada perlawanan meskipun bakal turun tanpa barisan terbaik.
“Walaupun pasukan kami berpangkalan di utara Vietnam yang bercuaca sejuk namun ianya tidak menggusarkan kami apabila bermain di Sabah yang agak panas ketika ini tetapi ketiadaan pemain tonggak sedikit mengganggu persiapan kami.
“Kami sedar Sabah adalah pasukan yang baik dan bermain di tempat lawan sudah pasti bukanlah perkara yang mudah tetapi kami sudah bersedia dan akan memberikan persembahan terbaik untuk membawa pulang mata,” katanya.
Seperti Sabah, Haiphong juga mahu mengutip tiga mata penuh untuk menjadi juara Kumpulan H sekali gus menghidupkan peluang layak ke peringkat separuh akhir zon.