TERENGGANU FC bangkit daripada ketinggalan apabila menewaskan Stallion Laguna FC 3-2 pada aksi Kumpulan G, Piala AFC di Stadium Bolasepak Binan, Manila sebentar tadi.

Ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama tidak mematahkan semangat untuk pelawat mengutip tiga mata di halaman lawan.

Namun, pada perlawanan itu, Stallion Laguna bermula cemerlang apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan.

Beraksi atas padang sintetik seakan menyulitkan corak permainan TFC yang melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utama bagi mengibar cabaran pentas Asia kali ini.

Image

Permulaan sempurna buat TFC tetapi rembatan Nik Sharif Haseefy sekadar terkena tiang. Sejurus kemudian, giliran Junior Ngong Sam meletakkan pasukan tuan rumah di depan dengan penyudah yang menakjubkan seawal minit ketiga.

Griffin McDaniel menambah jaringan kedua Stallion m-14 menerusi rembatan luar kotak penalti untuk menewaskan Suhaimi Husin di depan gawang.

TFC nyaris mendapatkan gol pertama, sayangnya percubaan Sony Norde terkena palang m-23. Bagaimanapun, 10 minit berselang, Norde menebus kehampaan hasil sepakan percuma diambilnya berjaya memerangkap pertahanan Stallion apabila Matthew Nierras tertanduk masuk bola ke arah pintu gol sendiri.

Image

Statistik permainan jelas didominasi Terengganu yang memegang bola sebanyak 70.8 peratus dan ianya memperlihatkan tanda-tanda kebangkitan wakil negara di babak kedua.

The Stallions mempamerkan disiplin tinggi mengekang dan menangkis setiap serangan ke kubu sendiri tetapi gagal mengekalkan sehingga akhir permainan.

Peluang terbaik hadir lagi buat Nik Sharif mencetak nama tetapi dia memilih menyepak liar tatkala pintu gawang terbuka luas. Penyerang sensasi, Ivan Mamut menyelamatkan pasukan daripada berputih mata dengan tolakan sempurna hasil lorongan cantik Norde m-66.

 

Pada minit ke-86, Norde menjaringkan gol penting untuk memastikan kemenangan dan membolehkan skuad Peteh memintas juara liga Australia, Central Coast Mariners di posisi teratas kumpulan selepas mengutip lapan mata dengan bermain empat permainan.

Central Coast berpeluang merampas kembali kedudukan andai berjaya mengalahkan Bali United pada aksi yang berlangsung di Gianyar, Indonesia malam nanti.