SABAH FC perlu menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk meraih tiga mata penuh sekaligus kembali merajai takhta Kumpulan H Piala AFC apabila berhadapan Haiphong FC pada Khamis.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee terpaksa menempuh laluan yang sedikit sukar apabila tewas kepada lawan yang sama pada aksi ketiga di Vietnam dan perlawanan di Stadium Likas pada Khamis menjadi misi wajib menang.

Kim Swee bagaimanapun yakin dengan kemampuan pasukannya berdasarkan analisis yang dilakukan dengan kelemahan yang dikesan sudah diperbaiki dan berharap pemain lebih fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

Sementara itu, pengendali Haiphong FC pula sedar mereka berdepan cabaran besar di tempat lawan ditambah masalah kecederaan yang melanda pasukan namun itu bukanlah alasan untuk mereka tidak memberikan aksi yang mantap.

Haiphong juga sedar akan kelebihan pemain Sabah terutama Ramon Machado, Darren Lok serta Saddil Ramdhani dan mereka sudah bersedia untuk mengecewakan Sabah dengan cuba mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

Sabah dijangka akan menurunkan kesebelasan terbaik meskipun Kim Swee mengatakan dia masih belum membuat keputusan siapa yang bakal dipilih terutama melibatkan pemilihan enam pemain import.

The Rhinos juga mahu mengikut jejak langkah Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC yang berjaya memenangi perlawanan masing-masing sekaligus membantu meningkatkan mata MA ranking Malaysia.

Kerancakan aksi Piala AFC bagaimanapun masih kurang mendapat perhatian penyokong tempatan apabila jualan tiket dikhabarkan sedikit suram namun Kim Swee percaya angka ini akan bertambah menjelang hari perlawanan.

Tiga mata dan peluang Sabah mengikut jejak langkah Kuala Lumpur City FC layak ke peringkat seterusnya semakin menjadi kenyataan namun segala-segalanya perlu dibuktikan dengan aksi cemerlang di atas padang.