FOTO : AFC

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner memuji pencapaian para pemainnya selepas melakar kemenangan sensasi yang dinanti-nantikan ke atas Stallion Laguna di laman lawan.

Turun dengan penuh keazaman sambil menanam tekad membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata, Terengganu nyaris gigit jari sebelum melakar kebangkitan luar biasa di babak kedua dalam saingan Kumpulan G, Piala AFC pada Rabu.

“Saya mesti mengucapkan tahniah kepada pasukan kerana selepas ketinggalan 0-2, kami berjaya bangkit di babak kedua.

“Jika anda melihat statistik, kami mempunyai penguasaan antara 60 peratus hingga 70 peratus, tetapi kami tidak boleh sentiasa betul dalam menutupi masalah.

“Pasukan lawan kerap menghadirkan cabaran sengit dan ini bukan seperti kita inginkan,” kata jurulatih berusia 57 tahun itu.

Ivan Mamut sentiasa dikawal ketat pemain Stallion Laguna. Foto : AFC

Dalam kunjungan ke Binan, Steinbruckner tidak membawa tiga pemain tonggaknya termasuk dua pertahanan, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni dan Muhammad Alif Zakaria serta pemain tengah, Liridon Krasniqi masing-masing mengalami kecederaan.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, situasi ketinggalan seakan mirip ketika kedua-dua pasukan bertembung di Gong Badak dalam pusingan pertama dua minggu lepas.

ARTIKEL BERKAITAN : Piala AFC 2023 : Kebangkitan TFC buat Stallion Laguna melopong

Terengganu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk meraih kemenangan 3-2 ke atas kelab Filipina di Stadium Bola Sepak Binan untuk meningkatkan harapan mereka mara tempat ke pusingan kalah mati Piala AFC 2023-24.

Sony Norde menjaringkan gol empat minit sebelum masa tamat untuk melengkapkan kebangkitan TFC, yang ketinggalan dua gol dalam 14 minit pertama apabila Junior Ngong Sam dan Griffin McDaniel memberikan Stallion Laguna permulaan yang sempurna.