PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu para pemainnya kekal fokus dan mahu mengelak dari dibolosi awal dalam misi wajib menang keatas Haiphong FC untuk aksi keempat Kumpulan H Piala AFC pada Khamis.

Dalam aksi di Stadium Likas itu, Kim Swee juga sudah mengenalpasti kelemahan yang ada pada pasukan ketika tewas pada lawan yang sama di Haiphong dua minggu lalu dan tidak mahu perkara yang sama berulang jika mahu mendapatkan mata penuh.

“Jangan dibolosi. Sudah tentu kita tidak mahu bolos awal seperti perlawanan sebelum ini dan kita sudah jadikannya pengajaran dan perlu fokus sehingga wisel penamat.

“Perlawanan esok adalah satu aksi yang penting jika kita ingin layak secara automatik tetapi bukan mudah kerana ini adalah cabaran kepada semua pemain dan saya rasa kita mampu lakukannya.

“Kita sudah menganalisa perlawanan sebelum ini dan banyak kelemahan perlu diperbaiki namun tidak perlu terlalu gusar kerana bermain di tempat sendiri tetapi kita juga tidak boleh mengambil mudah cabaran pasukan lawan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Likas.

Bekas pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan itu juga tidak gusar dengan cuti yang terlalu panjang kerana padanya dia mempunyai lebih masa untuk mempersiapkan pasukannya selain dapat memberi rehat yang cukup buat para pemainnya terutama pemain kebangsaan.

“Kita menjalani latihan seperti biasa dan mengekalkan intensiti-intensiti tertentu walaupun tanpa perlawanan yang begitu lama dan semua pemain juga berada dalam keadaan terbaik namun saya masih mempunyai 24 jam untuk membuat pilihan kesebelasan terbaik,” jelasnya.

Sabah FC memerlukan tiga mata penuh untuk kembali ke tangga teratas Kumpulan H sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat seterusnya.