FOTO : TFC

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menganggap pertembungan menentang kelab dari Filipina, Stallion Laguna dalam aksi Kumpulan G, Piala AFC di Stadium Bolasepak Binan, petang esok begitu penting bagi memburu slot ke peringkat seterusnya.

Walaupun sedar misi itu getir terutamanya kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada pusingan pertama dua minggu lepas, Steinbruckner optimis mampu mencuri mata penting dari laman lawan.

“Perlawanan baru, cabaran baru untuk kami. Esok kami mengharapkan permainan kami yang lebih baik, dan mengumpul beberapa mata baru.

“Jika anda mahu layak ke pusingan seterusnya, kami mesti mengumpul beberapa mata. Saya tahu ini tidak akan menjadi mudah, tetapi saya percaya kemampuan pasukan saya.

“Bagaimanapun, kami mempunyai masalah kecederaan. Tetapi saya percaya dengan kesemua para pemain yang di bawa ke sini (Binan),” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Binan, Laguna pada Selasa.

May be an image of 4 people, people playing football and text

Hadir sama, kapten pasukan, Habib Haroon dan jurulatih Stallion Laguna, Ernest Nierras dan kapten pasukan Matthew Nierras.

Pengendali kelahiran Croatia itu juga mendedahkan betapa Terengganu berhadapan jadual padat setiap perlawanan termasuk melakukan penggiliran pemain dalam usaha memastikan skuadnya benar-benar cergas dalam mana-mana pertandingan disertai.

“Anda tahu, beberapa minggu lepas kami bermain banyak perlawanan sukar setiap empat, lima hari. Dua perlawanan terakhir seperti yang saya nyatakan lawan Sri Pahang FC.

“Saya letak tujuh, lapan pemain baharu. Kami mencapai hasil yang perlu dilakukan dan sudah tentu, beberapa hari lalu di separuh akhir menentang Kuala Lumpur dalam stadium penuh dan kami menang,” katanya.

Skuad Penyu kini berada di tangga kedua Kumpulan G selepas mengutip lima mata apabila menang 1-0 ke atas Central Coast Mariners dari Australia pada aksi pertama sebelum seri berdepan kelab Indonesia, Bali United dan Stallion.