HANYA misi tiga mata berada dalam pemikiran ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menjelang aksi Kumpulan G Piala AFC 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Khamis.
Menurut Steinbruckner, berdepan kelab dari Filipina, Stallion Laguna menjadi satu lagi medan buat barisan skuad Peteh Ganu Peteh mencipta kemenangan kedua kempen pertandingan musim ini.
“Bermain selama 90 minit dan saya harap pemain akan berada pada tahap yang baik esok bagi mencapai apa yang kita mahukan iaitu tiga mata.
“Kami akan cuba mendapatkanmya dan semua orang jangkakan. Tetapi ini adalah bola sepak.
“Hari ini kami mempunyai sesi latihan petang terakhir, dan saya terpaksa memantau kecergasan beberapa pemain.
“Hari ini saya akan membuat keputusan dan mungkin akan menilainya kerana kami mahu menang esok.
“Kami berdepan dengan jadual yang padat, Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC, kesemua perlawanan adalah penting dan mencabar,” katanya dalam sidang media pra perlawanan pada Rabu.
Hadir sama, pemain tengah yang juga kapten Terengganu, Habib Haroon turut mengakui kemeriahan penonton mungkin sedikit terjejas berikutan sepak mula yang dijalankan seawal jam 4 petang, namun Habib percaya penyokong setia Terengganu tetap hadir berdiri di belakang pasukan.
“Anda tahu, esok perlawanan jam 4 petang. Sesetengah orang masih bekerja pada waktu itu dan mungkin mereka tidak akan datang seperti yang kita harapkan.
“Tetapi saya boleh menghubungi mereka untuk meminta sokongan seperti sebelum ini apabila kita melihat perlawanan tempoh hari di Kuala Lumpur.
“Saya memberitahu mereka, terima kasih untuk mereka semua. Luangkan wang, masa, tenaga, segala-galanya untuk menyokong kami dan kami merasainya,” katanya.
Terengganu kini berkongsi kedudukan pertama bersama Bali United dalam Kumpulan G dengan empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri pada perlawanan terdahulu.