KETUA jurulatih Hai Phong, Chu Đình Nghiêm yakin bahawa anak buahnya masih mempunyai peluang untuk bangkit dalam perlawanan Piala AFC menentang Sabah FC, petang Rabu.

Pasukan Hai Phong yang kini menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan H telah berjaya mengalahkan PSM Makassar 3-0 dalam perlawanan pertama namun gagal mengekalkan kemenangan dalam aksi seterusnya dengan Hougang United 1-2.

Menurut Đình Nghiêm, pertembungan esok perlu diambil berat kerana pasukannya sedang keciciran mata dalam peringkat kumpulan Piala AFC tersebut.

Namun, beberapa pemain Hai Phong yang sedang mengalami kecederaan akan tersisih dalam aksi perlawanan esok tetapi ianya tidak menjadikan satu alasan untuk pasukannya.

“Kita perlu menguasai perlawanan esok kerana ianya amat penting bagi memperbaiki semula kedudukan Hai Phong dalam peringkat Kumpulan H.

“Jika kemenangan esok berpihak buat pasukan kami, maka kami akan teruskan perjuangan dengan baki saingan Piala AFC ini.

“Namun, Sabah FC juga merupakan satu pasukan yang tidak boleh dipandang enteng kerana mereka pasti ingin memburu kejayaan untuk aksi hari esok walaupun sudah melakar kemenangan dua kali berturut-turut,” katanya dalam sidang media.