PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner sedikit kecewa kerana merasakan skuadnya berhak untuk membawa pulang lebih dari satu mata namun tetap gembira dengan keputusan seri di laman lawan.
Skuad Peteh berjaya mengikat Bali United 1-1 selepas pemain muda, Syahmi Zamri berjaya menjaringkan gol penyamaan ketika permainan berbaki enam minit dalam aksi kedua Kumpulan G, Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar Bali.
“Selepas perlawanan dan ketika perlawanan pada pendapat saya, kami berhak lebih dari satu mata kerana kami mengawal perlawanan. Selepas gol Bali United saya takut kerana kami bermain biasa sahaja meskipun mempunyai banyak percubaan untuk jaringkan gol.
“Kami cuba lakukan lebih lagi selepas jaringan Syahmi tetapi kami terpaksa bertahan kerana Bali mengasak dan cuba dapatkan jaringan kemenangan. Saya jangkakan lebih tetapi terpaksa berpuas hati sebab bawa balik satu mata tetapi sepatutnya kami bawa pulang tiga mata penuh,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Tomislav juga berani mempertaruhkan pemain muda sekali lagi seperti dalam perlawanan liga domestik dan dia sebagai jurulatih dia perlu mencari solusi yang sesuai dengan keadaan permainan tanpa mengira taraf pemain sama ada pemain senior ataupun junior.
“Sebagai jurulatih saya cuba mencari penyelesaian yang lebih baik. Kadang kala pemain muda lebih baik kerana mereka masuk pada babak kedua dan untuk perlawanan ini, Syahmi berhak mendapat tempat dan dia tunjukkan kualiti yang dimahukan dengan menjaringkan gol.
“Saya mungkin tidak berpuas hati sepenuhnya tetapi pemain muda di kelab ini semakin berkembang dan reaksi saya pada perlawanan ini adalah Syahmi perlu dibawa masuk untuk mengubah perlawanan dan ianya berhasil,” jelasnya.
Keputusan seri ini menyaksikan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Piala AFC dan kini di tangga kedua Kumpulan G dengan empat mata dan bakal berdepan wakil Filipina, Stallion Laguna pada 26 November di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.