KEDAH Darul Aman (KDA) FC boleh melakar kejutan menjelang saingan kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 di Denpasar Bali, Indonesia bermula pada Jumaat.
Bagaimanapun, beberapa strategi dan ‘senjata sulit’ perlu diterapkan dengan baik oleh jurulatih Aidil Sharin Sahak dan para pemain Sang Kenari.
Ikuti temubual eksklusif Flash Sukan bersama jurulatih antarabangsa Malaysia Raja Isa Raja Akram Shah mengenai peluang Kedah untuk melepasi peringkat Kumpulan G yang turut dihuni Bali United FC (Indonesia), Kaya FC (Filipina) dan Visakha FC dari Kemboja.
FLASH SUKAN : Bali United adalah perlawanan pertama dihadapi KDA FC. Apa kekuatan dan latar belakang kelab ini ?
RAJA ISA : Bali kini merupakan kelab bola sepak yang sangat stabil dan diurus dengan pengurusan yang profesional dan bijak mengendalikan kewangan. Bola sepak sebagai industri yang menguntungkan dan membantu ekonomi Indonesia. Buktinya, Bali United satu-satunya kelab Indonesia berada di Bursa Saham Indonesia.
FLASH SUKAN : Bagaimana pandangan anda dengan jurulatih Stefano Cugurra aka ‘Teco’ ?
RAJA ISA : Keputusan pengurusan Bali United mengikat jurulatih asal Brazil Teco dari Persija Jakarta membawa perubahan falsafah bermain yang sesuai kehendak pengurusan. Teco adalah jurulatih tiga juara era Liga 1 Indonesia dan pada 2018 membawa Persija Juara. Musim 2019 dan 2021 membawa Bali menang liga sebanyak dua kali dan ia merupakan sejarah buat era Liga 1 Bali United.
FLASH SUKAN : Anda mungkin sangat arif soal taktikal di Liga Indonesia kerana pernah mengendalikan beberapa kelab di sana. Boleh kongsikan formasi kemungkinan digunakan Bali United di Piala AFC nanti.
RAJA ISA : Sistem taktikal Bali United adalah 1-4-3-3 dan sangat fokus menggunakan kecepatan bahagian sayap serang dan bertahan/attacking wing flank dan fullback flank. Bali dijangka memanfaatkan kecepatan di dua sayap kiri dan kanan serta bek kiri. Pemain penyerang, Irfan Jaya dan Yabes Roni cukup pantas dan ini perlu diawasi segera pertahanan KDA.
FLASH SUKAN : Bali muncul juara liga dua kali berturut-turut. Adakah ini menunjukkan bahagian serangan mereka berbahaya menurut anda ?
RAJA ISA : Andhika Wijaya anak kepada bekas legenda nasional asal Bali, Imadi Pasek. Mereka juga miliki Ardi Idrus, Rizki Fajri yang selalu naik untuk membantu serangan Bali United. Kemampuan bahagian tengah dengan pemain pengalaman seperti Wawan, Hariono, Fadil Sausu dan kelibat import Ebber Bessa menjadi kekuatan watak penting yang Kedah perlu awasi. Sementara di pertahanan tengah ada pemain sangat berpengalaman iaitu bekas tonggak Persija, William Pacheko dan Gunawan Dwi Cahyo. Di posisi penjaga gol Bali United ada dua pemain kebangsaan Indonesia, Nadeo Argadinata dan Muhammad Ridho.
FLASH SUKAN : Apa kelemahan Bali United yang boleh dieksploitasi pemain KDA FC ?
RAJA ISA : Bali United akan tertekan jika lawan berani untuk bermain konsisten dengan cepat dan high intensity serta mampu melakukan transisi terutama menekan di pertahanan tengah William Pacheko, Leornard atau Gunawan.
Walaupun punyai ketinggian yang baik tapi mereka kelihatan lemah serta perlahan di situasi di combination play iaitu Spasosevic atau Lerby Iliandri. KDA FC kena cepat matikan fungsi dua pemain sayap atau dalam bahasa bola sepak 7 9 and 11 Bali United. Faktor usia pemain Bali United yang rata-rata 28 ke atas dan 30-an untuk 90 minit serta tambahan masa boleh dimanfaatkan Kedah kalau tenang, cepat dan high pressing. Insha Allah boleh lakukan kejutan. Apapun, semua kembali kepada kebijaksaan dan perancangan Aidil Sharin untuk membuat keputusan yang tepat secara taktikal dan strategi.
FLASH SUKAN : Kata-kata semangat anda untuk Kedah yang akan berjuang pada Jumaat ini.
RAJA ISA : Secara keseluruhan, kekuatan Bali United diperkuat pemain yang punyai latar belakang yang cukup pengalaman dan pernah mewakili skuad Garuda dan Liga 1. Apapun, saya tetap yakin Kedah mampu melakukan kejutan di Bali. Asalkan pemain berani mengambil kesempatan dan kelemahan pihak lawan. Semoga berjaya KDA FC. Pulun Kedah Pulun !