PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak memandang rendah terhadap pasukan Hai Phong bagi menghadapi perlawanan ketiga dalam saingan Piala AFC di Stadium Lach Tray, Vietnam petang Rabu.

The Rhinos yang sedang mendahului Kumpulan H dalam Piala AFC ini sebelumnya telah menewaskan wakil Singapura, Hougang United 3-1 dan PSM Makassar 5-0 dari Indonesia.

Walaupun kini berada di kedudukan teratas, Kim Swee tetap menegaskan bahawa anak buahnya perlu fokus memberikan aksi yang cemerlang dalam perlawanan esok terutama bertemu dengan naib juara saingan domestik Vietnam musim lalu.

“Tidak dinafikan bahawa Hai Phong mempunyai kekuatan tersendiri dan kami juga ada mengkaji kelemahan pasukannya dan kita tidak bersikap sambil lewa.

“Kita telah melakukan persiapan sehabis baik dan hanya mengharapkan pertembungan itu bakal membanggakan peminat-peminat Sabah.

“Keadaan pemain juga berada pada tahap yang baik dan dalam masa yang sama kita tahu perlawanan esok akan menjanjikan detik yang sengit,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

Tonggak utama Sabah FC, Stuart Wilkin pula sepakat dengan ketua jurulatihnya iaitu pertemuan dengan Hai Phong  bakal menjadi lebih sengit dari perlawanan sebelum ini.

“Pasukan kami akan lebih cakna dengan aksi setiap pemain pihak lawan dan kami pasti dapat menempuhi cabaran yang diberikan.

“Susah untuk saya perkatakan kelemahan pihak lawan namun kami ingin lebih fokus akan aksi skuad The Rhinos di stadium tuan rumah esok,” ujarnya.