SABAH FC membuktikan penguasaan mereka dalam Kumpulan H Piala AFC apabila mudah membenam cabaran PSM Makassar, 5-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali.
Saddil Ramdhani ternyata menjadi duri dalam daging buat pasukan tempat kelahirannya apabila mempamerkan aksi mantap dengan tiga bantuan jaringan untuk memastikan Sabah membawa pulang tiga mata penuh sekaligus menduduki tangga teratas kumpulan.
Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee menurunkan kesebelasan utama terbaik dengan kesemua enam kuota pemain import diisi dan Sang Badak tidak menunggu lama untuk mendahului PSM Makassar yang tampak kehilangan arah.
PIALA AFC 2023/24
Perlawanan 2, Kumpulan H
FT: PSM Makassar 0-5 Sabah FC
⚽ Darren Lok 6',46', Gabriel Peres 36', Stuart Wilkin 72', Farhan Roslan 90'+3
More pictures at: https://t.co/iibhxyXOYz#AFCCup2023#RaduSabahRadu pic.twitter.com/zs0BlJaev2
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 5, 2023
Darren Lok membuka tirai jaringan seawal minit keenam selepas menanduk masuk hantaran Saddil dari sebelah kiri yang terus memberikan keyakinan buat Sabah untuk terus mengasak kubu lawan.
Sabah seharusnya mendahului lebih besar tetapi digagalkan penyudah yang kurang baik dan terpaksa menyerap tekanan yang diberikan PSM Makassar sebelum Saddil sekali lagi menjumpai kepala Gabriel Peres yang menanduk masuk gol kedua pada minit ke-36.
Bersambung babak kedua, pengendali PSM Makassar, Bernardo Tavares melakukan empat pertukaran sekaligus tetapi belum pun sempat pemainnya mendapat rentak, Saddil Ramdhani dengan pantas masuk ke kotak penalti dan menemui Darren Lok untuk gol keduanya dalam perlawanan ini dan keempat sepanjang kempen Piala AFC.
Malang bertambah buat PSM Makassar apabila penjaga gol, Reza Pratama dilayangkan kad merah pada minit ke-57 selepas mengasari Saddil dan Sabah terus menggunakan kelebihan seorang pemain untuk terus menekan lawan.
Stuart Wilkin meletakkan Sabah empat gol di depan selepas menyempurnakan sepakan percuma yang terbias benteng lawan sekaligus mematikan cabaran PSM Makassar yang terpaksa menerima hakikat kelebihan Sabah dalam perlawanan ini.
Ketika perlawanan hampir tamat, Farhan Roslan menambah gol kelima dan mengesahkan kemenangan Sabah yang berjaya memungut enam mata hasil dua kemenangan dari dua perlawanan dan akan bertemu Haiphong FC di tempat lawan pada 25 Oktober nanti.
Dalam satu lagi perlawanan, Hougang United berjaya memperolehi tiga mata musim ini selepas menewaskan Haiphong FC 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura.