KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu menjadikan aksi bertemu PSM Makassar pada Khamis sebagai medan untuk meneruskan rentak kemenangan dalam Piala AFC selepas mencatat kemenangan pertama di laman sendiri menewaskan Hougang United.

Meskipun hadir dengan barisan terbaik, Kim Swee tetap berwaspada dengan cabaran PSM Makassar yang sudah tentu mahu bangkit semula selepas mereka tewas dalam perlawanan pertama bertemu wakil Vietnam, Haiphong FC.

“Pasukan kami tidak sabar untuk perlawanan ini dan kami mahukan keputusan positif selepas mendapat kemenangan pertama namun, kami perlu berhati-hati kerana selepas tewas pada aksi pertama, PSM Makassar pastinya mahu bangkit mendapatkan kemenangan.

“Kami sudah sampai ke Bali lebih awal dan sudah menyesuaikan diri kerana kita sedar sukar untuk bertemu PSM Makassar meskipun mereka tidak begitu baik dalam saingan liga ketika ini, kami perlu pastikan kami berada dalam keadaan terbaik dan dapatkan keputusan yang positif,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Sanur, Bali.

Kim Swee juga menyedari bahawa Sabah tidak mempunyai rekod yang baik di tempat lawan dalam saingan liga domestik tetapi dia berharap dapat mencipta kemenangan di laman lawan pada kejohanan tier kedua peringkat Asia ini.

“Kami tahu rekod di tempat lawan dalam liga kurang baik tetapi dalam Piala AFC ianya pertandingan yang berlainan dengan hanya enam perlawanan. Jadi kami perlu tahu bagaimana hendak mendapatkan keputusan dan tidak hilang mata ketika bermain di tempat lawan.

 

“Selain itu kami juga mahu memastikan kami mampu menyerap tekanan dan mulakan kemenangan pertama kami di tempat lawan dalam kejohanan ini,” tambahnya yang turut menyatakan pasukannya bebas dari sebarang kecederaan.

Sabah FC kini ditangga kedua Kumpulan H berkongsi tiga mata dengan Haiphong FC namun dipisahkan perbezaan jaringan dan tiga mata di Bali sudah tentu akan mengukuhkan lagi kedudukan untuk layak ke peringkat seterusnya.