SABAH FC mahu menjadikan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala AFC pada 2015 sebagai inspirasi apabila beraksi buat kali pertama dalam kejohanan tier kedua bola sepak Asia pada September.
Kim Swee juga mahu mewujudkan rasa percaya kepada pemainnya dengan melihat kejayaan Kuala Lumpur City FC layak ke final pada 2022 meskipun tidak meletakkan sebarang sasaran dalam penampilan sulung ini.
Skuad badak telah diundi dalam Kumpulan H bersama-sama kelab Vietnam, Haiphong FC, wakil Singapura Hougang United dan juara Liga 1 Indonesia, PSM Makassar dengan perlawanan peringkat kumpulan akan bermula pada 18 September 2023.
“Kami ingin jadikan JDT sebagai sumber inspirasi untuk muncul juara dan saya ingin jadikan KL City sebagai kepercayaan untuk para pemain di mana KL City boleh layak ke perlawanan akhir dan inspirasi seperti JDT untuk muncul juara.
“Kami tidak meletakkan sasaran untuk ini tetapi kami mempunyai objektif dan untuk layak ke peringkat seterusnya akan memberikan impak yang berbeza buat pasukan Sabah untuk mengharungi baki perlawanan Liga Malaysia selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian.
Sabah yang bertanding buat pertama kali di Piala AFC begitu juga dengan Haiphong FC dan akan bakal berhadapan lawan yang sudah mempunyai pengalaman beraksi di peringkat kumpulan di mana Hougang United dan PSM Makassar pernah bermain sekurang-kurangnya dalam dua edisi sebelum ini.
Kim Swee juga berbangga dengan kejayaan Sabah ke Piala AFC dan mahu para penyokong memberikan sokongan buat para pemainnya kerana bukan mudah untuk beraksi di peringkat tinggi ini.
“Ianya adalah satu pencapaian yang baik untuk rakyat Sabah, penyokong yang setia dan mereka perlu berbangga teruskan sokongan kerana bukan mudah untuk layak ke peringkat seperti ini dan ianya penting untuk membantu pemain beraksi dengan baik,” tambahnya.
Musim lalu menyaksikan Kuala Lumpur City menjadi kelab Malaysia kedua layak ke final Piala AFC di mana mereka tewas 0-3 kepada kelab Oman, Al-Seeb manakala JDT kekal menjadi satu-satunya pasukan dari Malaysia yang pernah menjulang trofi berprestij itu.