PENGENDALI Terengganu FC Tomislav Steinbruckner memuji pengurusan Bali United yang berjaya menyediakan padang latihan dan lapangan yang baik di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali yang memungkinkan aksi berkualiti ditunjukkan kedua-dua pasukan.

Ini selepas pengendali Croatia itu melakukan pemeriksaan di stadium dan juga ketika menjalani latihan di pusat latihan Bali United dan dia teruja untuk memastikan skuadnya meraih kemenangan pada aksi kedua Kumpulan G, Piala AFC pada Rabu.

Dia juga berharap agar semua pemainnya pulih dari kecederaan bagi memastikan Terengganu dapat menurunkan barisan terbaik untuk mencari tiga mata dan membawa nama Terengganu dan Malaysia di peringkat Asia.

“Persiapan kami berjalan baik dengan ada beberapa pemain yang cedera dan harap mereka sempat pulih esok kerana kami mahu menurunkan barisan terbaik kerana ingin mendapatkan keputusan yang positif dari perlawanan ini.

“Saya pertama kali berada di sini. Stadium mempunyai padang yang cantik serta di pusat latihan mereka. Pujian harus diberikan kepada Bali United kerana semua pemain seronok untuk bermain di padang yang cantik dan kami ingin membawa nama baik buat Malaysia dan TFC,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Dalam pada itu, Steinbruckner sedar akan kemampuan dan bahaya yang boleh didatangkan Bali United tetapi dia yakin mereka mampu untuk menyerap tekanan dan menjanjikan satu permainan yang baik dan menjangkakan satu perlawanan yang pantas dari kedua-dua pasukan.

“Saya ada menonton permainan Bali United ketika menentang Stallion Laguna dan Persikabo. Mereka adalah pasukan yang baik dengan pemain berkualiti dan saya jangkakan perlawanan yang sukar kerana mereka mahukan mata penuh di tempat sendiri tetapi kami juga mempunyai sasaran dan mahu memberikan aksi terbaik dengan pemain yang kami ada.

“Apabila bermain di tempat lawan, kami lebih melihat kepada kualiti yang ada pada pasukan lawan dan semua jurulatih di dunia mahu pasukannya berada pada tahap terbaik dan jika kami teruskan bermain seperti sebelum ini kami mungkin boleh meraih kemenangan namun segalanya bakal ditentukan di dalam padang dengan jangkaan permainan yang pantas,” jelasnya.

Terengganu yang mencari kemenangan kedua terpaksa melupakan khidmat bek kental, Safwan Mazlan yang masih mengalami kecederaan tetapi Sony Norde dikhabarkan mampu pulih bagi menjana serangan pasukan.

“Safwan Mazlan terpaksa diketepikan kerana kecederaan dan kami membawa tujuh pemain import kerana ada beberapa pemain import lain yang tercedera tetapi saya yakin Sony Norde sempat sembuh.”

Selepas berakhir perlawanan pertama, Terengganu FC berkongsi tiga mata bersama pendahulu Kumpulan G, Bali United namun dibezakan kelebihan jaringan selepas membenam cabaran Central Coast Mariners dari Australia 1-0 dalam aksi di Gong Badak.