PENYERANG muda Terengganu FC, Syahmi Zamri gembira dengan peluang yang diberikan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner dan dia membalas kepercayaan itu dengan menjaringkan gol penyamaan ketika membantu Terengganu mengikat Bali United 1-1 dalam aksi Piala AFC.

Syahmi yang dibawa masuk menggantikan Adisak Kraison pada pertengahan babak kedua muncul wira buat skuad Penyu apabila jaringannya memastikan Terengganu membawa pulang satu mata dari Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali pada Rabu.

Dia yang ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan turut mengakui pemain senior dalam pasukan banyak membantunya mendapatkan jaringan pertama dalam kejohanan peringkat Asia ini.

“Bagi saya ianya permainan yang baik dengan Bali United banyak memberi impak. Saya gunakan peluang yang diberikan jurulatih dan pemain senior juga banyak membantu saya ketika beraksi dan ini pengalaman yang baik buat saya,” katanya.

Dia mengikut jejak langkah pemain sayap Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Hanapi yang menjaringkan dua gol ketika membenam BG Pathum United dalam Liga Juara-Juara AFC dan menganggap kemunculan pemain-pemain muda ini adalah perkembangan yang sihat buat Malaysia.

“Kejayaan Arif Aiman dan saya menjaringkan gol di peringkat Asia ini adalah perkembangan yang baik buat pemain generasi baharu di Malaysia tetapi saya masih tidak berpuas hati dengan persembahan saya kerana saya rasakan saya mampu untuk lakukan yang lebih baik,” jelasnya.