PENGENDALI PSM Makassar, Bernardo Tavares memilih Sabah FC sebagai pasukan yang lebih baik dan versatil jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur City FC yang ditemui mereka dua kali pada saingan Piala AFC musim lalu.
PSM Makassar, dalam musim kedua mereka di Piala AFC bakal berhadapan Sabah FC dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar Bali pada Khamis dan sudah bersedia untuk beraksi meskipun dalam keadaan yang tempang akibat kecederaan pemain utama.
“Pada pendapat saya, Sabah adalah lebih pelbagai dalam karakter pemain import dan mempunyai fizikal yang lebih kuat. Jika ingin dibandingkan, Sabah lebih kuat berbanding KL City kerana mereka mampu mencipta senario berbeza dengan pemain yang sama dan ianya sentiasa berkesan.
“Inilah sebabnya mengapa saya pilih Sabah lebih baik berbanding KL City dan kami perlu bersedia dan berhati-hati untuk situasi seperti ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN dalam sidang media pra perlawanan di Sanur, Bali.
Tavares bagaimanapun kekal realisitik dengan kemampuan pasukannya untuk perlawanan esok kerana ramai pemain utamanya mengalami kecederaan dan dia mengharapkan sokongan padu penyokong sebagai tenaga tambahan buat para pemainnya untuk membawa nama Makassar dan Indonesia di pentas antarabangsa.
“Ianya akan menjadi satu perlawanan yang sukar kerana Sabah adalah pasukan yang baik dengan pemain yang boleh menjaringkan gol dari pelbagai situasi serta fizikal yang kuat selain mereka juga mempunyai tempoh rehat yang lebih.
“Meskipun kami tidak bermain di tempat sendiri, ini adalah perjuangan bola sepak bukan sahaja buat PSM Makassar tetapi buat Indonesia dan kami berharap ramai penyokong ke stadium untuk berikan sokongan kerana kami tidak mempunyai skuad yang lengkap dan sokongan ini penting untuk beri tenaga tambahan kepada pemain.
“Bagi saya, kami perlu realistik kerana ramai pemain cedera dan tidak boleh bermain tetapi apa yang penting esok adalah kesatuan sebagai satu pasukan dan taktikal kerana kami tidak boleh bergantung pada pemain individu,” jelasnya.
PSM Makassar kini mencari kemenangan pertama dalam Piala AFC selepas tewas 0-3 kepada wakil Vietnam, Haiphong FC dan juga mahu menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut yang dilihat sedikit menjejaskan rentak pasukan.