Foto : TFC

TERENGGANU FC (TFC) yakin dapat membawa pulang mata berharga daripada aksi kedua Kumpulan G Piala AFC bertemu Bali United di Stadium Kapten I Wayan Dipta, esok.

Jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner, berkata, kehadiran semula tonggak yang direhatkan sebelum ini menjadi sandaran buat Sang Penyu memburu kemenangan.

Antaranya pemain sayap, Sony Norde dan penjaga gol utama, Mohd. Suhaimi Husin yang akan kembali memperkuatkan kesebelasan utama TFC.

“Kami berhasrat meneruskan rentak kemenangan selepas bermula dengan langkah kanan mengalahkan juara Australia, Central Coast Mariners, bulan lalu.

“Bayangan kesebelasan utama sudah ada dengan kepulangan beberapa tonggak dan saya masih ada beberapa sesi latihan lagi bagi memantau tahap kecergasan pemain,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Jelas Steinbruckner, Bali United disifatkan pasukan yang baik setelah mengatasi Stalion Laguna, 5-2 sambil kelibat Ilisa Spasojevic dan Jefferson Assis antara yang perlu diberi perhatian.

“Jika dapat memberikan persembahan 100 peratus, TFC boleh meraih keputusan positif sekurang-kurangnya satu mata dari tempat lawan,” katanya.

Pertembungan dua pasukan itu dijangka sengit dengan kedua-dua bermula garang pada aksi pembukaan Kumpulan G mengalahkan lawan masing-masing.