JURULATIH skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon memohon maaf kepada seluruh penyokong Malaysia kerana gagal memberikan kebanggaan seperti yang diharapkan selepas akur tersingkir di peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Nada kecewa Pan-gon itu jelas terpancar semasa sesi sidang media dan dia meletakkan segala kekalahan pasukan kebangsaan ke atas dirinya.
“Tahniah kepada Thailand. Ya, saya minta maaf kepada penyokong Malaysia.
“Malam ini kami kalah dalam permainan. Saya tidak boleh berkata banyak tentang prestasi pemain Harimau Malaya. Saya menghargai mereka kerana mereka meninggalkan percutian mereka dan merindui keluarga mereka selama hampir 50 hari. Banyak pengorbanan. Ia adalah perjalanan yang indah.
“Bagi saya, balik Malaysia nanti kami belajar daripada kesilapan. Malam ini para pemain ikut arahan dan lawan sehingga titisan peluh terakhir. Taktikal, strategi, barisan pemain, itu masalah saya, bukan masalah pemain.
“Sebarang keputusan terletak pada saya. Anda boleh menyalahkan saya, tetapi bukan pemain.
“Lebih baik kami tidak terlalu memikirkan. Dalam tempoh lima minggu lepas, kami bersatu dan positif. Kami bercakap tentang masa depan dan menggalakkan satu sama lain.
“Jangan salahkan pemain. Segala keputusan adalah dibuat saya. Semua positif dan mohon semua pihak teruskan sokongan kepada negara. Ada pemain yang sedang belajar, dan saya takkan salahkan pemain,” katanya selepas perlawanan di Stadium Thammasat, Bangkok malam ini.
Perjuangan skuad Harimau Malaya pada Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 berakhir di peringkat separuh akhir.
Terima kasih kepada wira-wira Harimau Malaya yang telah berjuang untuk membawa nama Malaysia dan demi lencana di dada!#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/wV3brIjbqH
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) January 10, 2023
Pengendali asal Korea Selatan itu juga memberitahu tidak pernah menyesal dengan para pemain Malaysia.
“Malam ini, mereka mengikuti arahan saya. Mereka berjuang sehingga ke penghujungnya. Segala masalah di pihak saya,” ujarnya.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad negara sekadar memanjangkan lagi kemarau kejuaraan yang dimenangi kali terakhir pada 2010 ketika menewaskan Indonesia di pentas final.