LAOS dan Brunei Darussalam sudah pun tersingkir daripada saingan Piala AFF 2022. Ini kerana tidak mungkin lagi kedua-dua negara itu mara ke tangga teratas peringkat kumpulan dengan baki satu perlawanan.

Brunei menjadi negara pertama yang ditendang keluar daripada kejohanan berprestij di Asia Tenggara ini selepas menelan tiga kekalahan berturut-turut dalam Kumpulan A, masing-masing dibelasah Thailand 0-5, ditewaskan oleh Filipina 1-5, dan ditumpaskan oleh Indonesia 0-7.

Malah, keputusan yang diperolehi menentang Kemboja pada perlawanan terakhir nanti tidak lagi menjadi penentu skuad kendalian Mario Rivera. Jika menang sekalipun, mereka tidak mampu memintas Thailand dan Indonesia yang sudah mempunyai enam mata.

Situasi serupa dialami Laos dalam Kumpulan B. Pasukan yang digelar Million Elephants itu turut menelan tiga kekalahan, masing-masing kalah 0-6 kepada Vietnam, Malaysia (0-5) dan Singapura (0-2). Pertemuan menentang Myanmar tidak lagi membawa sebarang erti.

Prestasi hambar Brunei dan Laos dalam saingan Piala AFF 2022 boleh dilihat daripada status mereka sebagai lubuk gol buat lawan. Laos telah bolos 13 kali tanpa pernah menjaringkan gol, manakala Brunei telah menjaringkan satu gol tetapi bolos 17 kali.

Brunei mahupun Laos bukan kuasa besar dalam bola sepak Asia Tenggara. Brunei hanya menyertai Piala AFF dua kali sejak pertama kali diadakan pada 1996. Sementara itu, Laos telah muncul dalam 13 edisi, tetapi sentiasa tersekat dalam fasa kumpulan.