SYABAS Datuk K.Rajagobal kerana memastikan Malaysia disegani dalam saingan bola sepak susulan kejayaan membimbing skuad kebangsaan meraih gelaran Juara Piala AFF 2010.

Bukan tugas mudah tetapi ini berjaya dilakukan Rajagobal dan  kejayaan pertama di raih Malaysia sejak Piala AFF  dipertandingkan mulai 1996 dan lawan yang ditumbangkan pada pentas final adalah Indonesia yang mencatatkan kemenangan sepanjang saingan berlangsung sehinggalah terpaksa akur dengan kekalahan 2-4 kepada Malaysia dipentas akhir.

Dua kali berada dipentas final pada 2014 dan 2018 namun Malaysia tetap pulang dengan gelaran naib juara pada kedua-dua perlawanan tersebut walaupun pengendali Harimau Malaya silih berganti.

Itu cerita 12 tahun yang lalu, tetapi kini fenomena 2022 dengan Harimau Malaya yang dibimbing pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon nyata memberikan aura dan corak permainan pantas yang berbeza.

Berdepan kekangan pelepasan pemain untuk bersama skuad kebangsaan bukanlah halangan buat Pan-gon yang hanya mempunyai tempoh sebulan menerapkan DNA baharu kepada pemain yang dipanggil menyertai kem latihan berpusat Harimau Malaya.

Beberapa muka baharu yang dibawa dan diperkenalkan sedikit mengundang kegusaran peminat dan juga pemerhati bola sepak namun berlandaskan bakat muda diketengahkan, Pan-gon meneruskan strateginya tersendiri.

Goyang pada aksi pertama apabila hanya menang 1-0 keatas Myanmar, Harimau Malaya kembali garang dengan membaham Laos, 4-0 dillaman sendiri.

Badi kekalahan Harimau Malaya dengan Vietnam terus berlarutan apabila Malaysia kecundang, 0-3 sebelum bangkit meraih tiga mata menewaskan Singapura, 4-1 yang mengesahkan pentas separuh akhir.

Brendan Gan, Stuart Wilkin, Faisal Halim, Mukhairi Ajmal dan beberapa pemain lain dalam skuad Harimau Malaya nyata membalas kepercayaan diberikan Pan-gon setiap kali diturunkan beraksi.

“Saya sangat bangga dengan pemain Harimau Malaya, mereka menunjukkan potensi dan mereka memiliki bakat. Malam ini (semalam) mereka tunjukkan dan menceriakan semua penyokong.

“Tahniah kepada pemain dan saya sangat menghargai perjuangan untuk seluruh penyokong. Saya mempunyai harapan yang tinggi dan menunggu keputusan seperti ini.

“Mereka (pemain) berusaha keras, berada jauh dari keluarga dan dalam masa yang singkat saya boleh katakan mereka melakukan tugas yang sangat baik,” ujar Pan-gon pada sidang media selepas perlawanan menentang Singapura, Selasa lalu.

Tiada lagi istilah pasukan Malaysia A, mahupun B kerana semua pemain turun Demi Lencana Didada.

Info

  • Penyertaan Piala AFF – 14 kali (1996-2022)
  • Juara Piala AFF – 1 kali (2010)
  • Naib juara – 3 kali (1996, 2014, 2018)
  • Gelaran : Harimau Malaya

Laluan ke pentas Separuh Akhir

  • Myanmar (0) (1) Malaysia
  • Malaysia (4) (0) Laos
  • Vietnam (3) (0) Malaysia
  • Malaysia (4) (1) Singapura