MASIH ingatkan dengan fenomena #keeperkatmana yang berlaku pada Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2014 ketika penjaga gawang Singapura Hassan Abdullah Sanny ‘hilang’ diposisi yang membuka peluang mudah buat Indra Putra Mahyuddin menjaringkan gol memastikan kemenangan Malaysia, 3-1 di Stadium Nasional Singapura.

Itu yang berlaku pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2014 yang memastikan kemaraan ke pentas separuh akhir dan tanggal 4 Disember 2014 tersebut adalah kali terakhir Malaysia menang ke atas lawan dari seberang Tambak Johor itu.

Malaysia, juara Piala AFF 2010 sebelum itu tewas 0-1 pada aksi Piala Airmarine 2019 di Bukit Jalil dan seri tanpa jaringan dalam perlawanan persahabatan pada 2016.

Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Singapura menang 2-1 di laman sendiri pada aksi persahabatan antarabangsa kejohanan Siri Tiga Negara FAS pada 23 Mac 2022, sekali gus menyaksikan Kim Pan-gon mengalami kekalahan pertama bersama pasukan negara.

Kini kancah bola sepak Asia Tenggara kini tertumpu kepada perlawanan antara Malaysia dan musuh tradisinya Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala AFF 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam ini.

Pertembungan yang diibaratkan Causeway Derby itu bukan perlawanan biasa kerana setiap pertemuan kedua-dua pasukan tidak pernah sepi daripada pelbagai drama ‘dalam dan luar’ padang, emosi dan ragam peminat.

Selepas Singapura berjaya mengikat Vietnam tanpa jaringan Jumaat lepas, pasukan negara bimbingan Kim Pan Gon tidak mempunyai pilihan selain perlu mencatat kemenangan untuk layak ke peringkat separuh akhir bagi mengelakkan daripada tersingkir awal buat kali kedua berturut-turut.

Singapura, juara empat kali dan hanya memerlukan keputusan seri untuk layak, bakal turun dengan reputasi unggul mencabar kehebatan Malaysia yang memiliki rekod kurang memberangsangkan berdepan The Lions dalam kesemua pertandingan beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagai ulangan aksi kumpulan edisi 2014, tekanan dan bahang perlawanan jelas dirasai berdasarkan kedudukan kumpulan apabila Singapura sekadar mempunyai kelebihan satu mata di kedudukan kedua manakala Malaysia ketiga dengan mengumpul enam mata.

Harimau Malaya kini ranking ke-145 dunia

Berdasarkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Malaysia lebih baik di kedudukan ke-145 manakala Singapura ke-160, namun pertembungan malam ini tidak mengambil peduli soal rekod lampau kerana kedua-dua pasukan sentiasa berlumba-lumba melakar sejarah baharu.

Kekalahan 0-3 Harimau Malaya di tangan Vietnam sememangnya menjadi tamparan besar buat pasukan kebangsaan namun perlawanan itu perlu segera dilupakan dan perlu bangkit dalam misi mendapat tiga mata menentang Singapura.

“Singapura dilihat lebih bertahan dan mencari ruang menerusi serangan balas pantas tetapi corak permainan kita lebih aktif. Kedua-dua pasukan ada cara yang berbeza untuk mendapatkan kemenangan.

“Tetapi kita menghormati cara permainan mereka dan kita akan menggunakan pendekatan yang sewajarnya. Kita tahu Singapura juga mahukan kemenangan,” ujar Pan-gon.

Bagi meneruskan untuk ke saingan separuh akhir, Harimau Malaya wajib menang ke atas Singapura yang kini pastinya berkira-kira bakal berdepan dengan lebih 50,000 ‘Ekor Harimau Malaya’.