SKUAD bola sepak kebangsaan mempamerkan aksi longlai apabila gagal melangkah ke pentas final Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 selepas tewas kepada juara bertahan, Thailand menerusi agregat 3-1 pada aksi separuh akhir sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Thammasat, Bangkok, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon membariskan kesebelasan terbaik iaitu kapten, Faisal Halim, Dominic Tan dan kembalinya Azam Azmi daripada penggantungan.

Skuad negara dilihat ditekan pada 10 minit awal menerusi gerakan berbahaya Teerasil Dangda dan Bordin Phala yang mencemaskan kubu pertahanan.

Usaha gigih Thailand berhasil apabila pemain sensasinya, Teerasil Dangda berjaya menanduk gol pembukaan dan gol keenam peribadi dalam kempen ini untuk mengikat agregat 1-1 di minit ke-19.

Sedikit berlaku perang mulut di luar padang menyaksikan Mano Polking dan Pan-gon dilayangkan kad kuning oleh pengadil dari Jordan, Adham Mohammad Tumah.

 

Bersambung pada separuh masa kedua, pertukaran pemain kem Malaysia dilakukan dengan memasukkan V Ruventhiran, Lee Tuck dalan usaha memburu gol.

Skuad kebangsaan bagaikan kehilangan arah apabila penguasaan bola memihak tuan rumah. Thailand terus meraih gol kedua hasil ledakan Bhordin Phala pada minit ke-55.

Pemain gantian, Adisak Kraisorn melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-70 dengan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan tersebut menyaksikan skuad negara sekadar memanjangkan lagi kemarau kejuaraan yang dimenangi kali terakhir pada 2010 ketika menewaskan Indonesia di pentas final.

Thailand, juara edisi enam kali akan bertemu Vietnam untuk penentuan juara pada 13 dan 16 Januari ini.