PASUKAN Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFF 2022 selepas menewaskan Singapura 4-1 dalam aksi saingan Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa malam.
Adegan gol pertama Harimau Malaya hadir pada minit ke-35 menerusi tandukan Darren Lok yang menerima hantaran tepat daripada kapten pasukan Safawi Rasid.
Namun pada babak kedua, pasukan bimbingan Kim Pan-gon lebih garang dengan menyaksikan Stuart John Wilkins meledak dua gol pada minit ke-50 dan 54′.
Agak terleka menuju lima minit babak terakhir, benteng pertahanan negara dihukum Singapura menerusi jaringan Faris Ramli pada minit ke-85.
Namun Sergio Aguero mengukuhkan kedudukan dengan jaringan keempat sekaligus menyaksikan seluruh stadium berpesta bagi meraikan kejayaan skuad kebangsaan.