PENGENDALI Myanmar Antoine Hey mengakui bukan mudah berdepan Malaysia yang dibarisi muka-muka baharu dalam aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Thuwunna pada Rabu.

Jurulatih kelahiran Jerman itu juga gembira apabila kembali bermain di laman sendiri selepas tiga tahun dengan pasukannya sudah bersedia dan kesemuanya cergas untuk beraksi menentang Malaysia di hadapan penyokong yang dihadkan.

Hey turut menceritakan pengalaman mereka yang masih diingati ketika menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada kempen AFF 2018 lalu di mana Myanmar tewas 0-3 dalam aksi kumpulan.

“Kami pernah menentang mereka sebelum ini beberapa tahun lalu dan tahu mereka adalah lawan yang sukar dan kini mereka ada beberapa pemain berpengalaman termasuk tonggak naturalisasi dalam pasukan.

“Pada pertemuan 2018 lalu, kami tewas 0-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan. Ianya adalah satu perlawanan yang menghiburkan tetapi pemain kami gugup apabila berhadapan lebih 80,000 penyokong di sana.

“Tapi kali ini senario itu akan berubah kerana kami kembali bermain di laman sendiri selepas tiga tahun dan pasukan juga berada pada tahap terbaik dengan semua pemain cergas dan bersemangat untuk beraksi menentang Malaysia.

Para pemain juga mahu membuktikan apa yang mereka mampu lakukan dengan memberikan aksi yang terbaik kepada 2,000 penyokong kami yang dibenarkan hadir ke stadium,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Untuk rekod, Myanmar mempunyai rekod yang baik apabila menentang Malaysia di Yangon di mana Myanmar menang dua kali dan seri sekali dalam tiga aksi di Stadium Thuwunna ini.