KETUA Jurulatih, Kim Pan-gon sedar Thailand berada pada ranking yang lebih baik dan menghormati mereka sebagai lawan tetapi cara yang betul untuk menghormati mereka adalah dengan memberikan segalanya dalam perlawanan ketika menentang mereka.

Pan-gon juga gembira kerana pemain semuanya berada dalam keadaan yang baik dan bermotivasi tinggi untuk memberikan aksi terbaik kepada para penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Dia juga tidak mahu memikirkan tentang kekuatan pasukan Thailand sebaliknya hanya fokus skuadnya dan akan menggunakan kelebihan yang ada untuk memberikan kemenangan kepada Harimau Malaya.

“Para pemain berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk perlawanan esok. Mereka semua sangat bermotivasi dan saya harapkan mereka dapat memberikan permainan yang baik buat para penyokong Malaysia.

“Kita semua tahu Thailand mempunyai ranking yang lebih tinggi dan kita perlu menghormati mereka sebagai juara bertahan. Mereka berhak mendapat penghormatan dari kami tetapi cara sebenar adalah dengan memberikan mereka kuasa penuh dalam perlawanan dengan mengekalkan DNA dan karektor permainan Malaysia dan berikan kebanggaan kepada bola sepak negara.

“Saya tidak mahu memikirkan tentang mereka sebaliknya hanya fokus kepada pasukan kami terutama para penyokong dan akan gunakannya sebagai kelebihan buat kami seperti perlawanan sebelum ini,” katanya pada sidang media pra perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Pan-gon juga sedar bukan mudah untuk bermain dalam format karnival kerana jadual yang padat tetapi dia gembira mempunyai barisan kejurulatihan yang baik dan banyak memberikan informasi dan analisis pasukan lawan kepada para pemain.

Dia juga tidak melihat Thailand sebagai pasukan yang tidak kuat kerana secara tradisinya skuad Gajah Perang sering turun dengan pasukan yang berkualiti dengan pemain yang mempunyai skil individual yang tinggi.

Malaysia akan berhadapan cabaran Thailand pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil dan berharap dapat membawa kelebihan selesa di hadapan 59,000 penyokong tuan rumah menjelang aksi separuh akhir kedua di Bangkok pada Selasa.