PENJARING gol kemenangan Malaysia menentang Thailand, Faisal Halim ternyata gembira apabila dapat menjaringkan gol pada hari ulang tahun kelahirannya ke-25 walaupun berasa sedikit sedih kerana tidak dapat menyambutnya bersama keluarga tercinta.
Faisal juga tidak mahu meletakkan dirinya sebagai wira sebaliknya menganggap kemenangan ini adalah usaha semua pemain yang menunjukkan aksi yang mantap dalam perlawanan yang mendebarkan.
Dia turut mengakui aksi yang mereka tunjukkan sedikit tidak menjadi tetapi bersyukur kerana tetap berjaya mencatat kemenangan dan tidak melepaskan sebarang gol.
“Bagi saya ini adalah hadiah terbesar buat diri saya, bukan duit yang saya pandang tetapi kemenangan untuk rakyat Malaysia.
“Walaupun saya tidak dapat sambut hari lahir dengan keluarga, isteri dan anak-anak, tetapi saya ada rakan sepasukan dan jurulatih yang sentiasa memberi sokongan kepada saya.
“Kita bekerja keras selama ini dan semua pemain menjalankan tanggungjawab dengan cukup baik. 90 minit bukan permainan yang sukar kerana sering diasak Thailand tetapi inilah bola sepak, rezeki pada kita apabila berjaya mencapai kemenangan.
“Walaupun kita tidak bermain seperti biasa malam ini, saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki setelah kita berdoa dan berusaha dan perlawanan seterusnya pasti tidak mudah kerana bakal bermain di Thailand, tetapi saya percaya jurulatih mempunyai pelan untuk kami,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
Faisal turut berkata fokus mereka kini adalah untuk perlawanan seterusnya di Bangkok dan berharap mereka tidak melepaskan gol seperti yang dilakukan di Bukit Jalil dan memuji disiplin yang ditunjukkan rakan sepasukan.
Selain itu dia turut berkata sasaran mereka kini adalah untuk mencari kemenangan demi membanggakan rakyat Malaysia, penyokong dan keluarga, serta ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin yang telah banyak berkorban buat mereka.