BEKAS pertahanan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah menyeru barisan pertahanan negara ‘berjaga-jaga’ dengan kemantapan penyerang mereka, Teerasil Dangda yang memiliki penyudah terbaik terutama menerusi tandukan dan sepakan deras mengelirukan yang menjadi aset di jentera serangan pasukan Thailand.
“Mereka berbahaya dari segi hantaran lintang. Seperti yang kita tahu, mereka ada Teerasil Dangda, ada kelebihan dari segi tandukan. Kita kena berhati-hati dengan early crosses.
“Backline kita tiada masalah lebih- lebih lagi dengan Azam Azmi Murad yang bebas daripada kad merah setelah menjalani dua penggantungan perlawanan. Saya rasakan , Azam Azmi, Quentin, Sharul Nazeem dan Ruventhiran masing-masing mampu menjalankan tugas dengan baik,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, dia juga berharap ruang permainan terbuka yang akan dipamerkan Thailand kelak mampu dieksploitasi barisan serangan kebangsaan dan menterjemahkan kepada jaringan buat skuad negara.
“Thailand sudah tentu akan open game untuk mendapatkan gol. Malaysia perlu bertahan di tengah. Kita harus mengambil peluang menerusi counter-attack. Kita ada Faisal Halim, Safawi Rasid dan Darren Lok yang perlu mengeksploitasi peluang tersebut,” katanya.
Dengan semangat yang ada pada skuad kebangsaan ketika ini, Norhafiz meramalkan skuad kebangsaan tidak berdepan masalah mengulangi skrip 2010 iaitu menjuarai Piala AFF buat kali pertama.
“Bagi saya tiada masalah. Kita antara skuad yang terkuat juga di Asia Tenggara cuma kadangkala kita hilang fokus. Harapan saya juga besar, kalau boleh hendak lihat kita kembali menang piala kali ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia kurang bernasib baik tatkala skuad kebangsaan meraih gelaran sulung piala AFF pada 2010 apabila terpaksa diketepikan ekoran faktor kecederaan dan digantikan dengan Razman Roslan.