KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menasihati barisan pemain yang bakal diturunkan agar menganggap perlawanan menentang Laos adalah seperti perlawanan hidup dan mati meskipun sedar reputasi memihak pasukan kebangsaan.

Ia berikutan pasukan Laos semestinya bakal turun sebagai pasukan underdog dengan kurang tekanan bakal dihadapi setiap pemain yang beraksi esok.

“Kalau kita main sambil lewa, kita akan berdepan masalah kerana mereka pastinya cuba menyimpan bola dan sesekali melakukan serangan sedangkan kita perlu menjaringkan gol,” ujarnya dalam sidang media pra perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric bertemu Laos pada Sabtu.

Bagaimanapun, jurulatih berasal dari Korea Selatan itu menyeru skuadnya tetap menghormati pasukan Laos biarpun sedar misi sebenar adalah memenangi perlawanan.

“Kita hormati Laos. Sudah tentu mereka tidak mahu tewas lagi sekali. Kita wajib menewaskan Laos untuk mencapai sasaran utama kami layak ke peringkat separuh akhir,” katanya.

Jelas Pan-gon lagi, Ahmad Khuzaimi Piee masih dalam fasa pemulihan ekoran kecederaan yang dialami sebelum ini.

Dengan jadual yang padat, bantuan dari pasukan teknikal skuad kebangsaan dilihat sangat membantu ke arah memperkasa kelemahan yang berlaku disebabkan kecederaan.

“Kita baru pulang dari Myanmar. Kita sangat fokus kepada proses pemulihan. Kita masih menunggu keputusan laporan medikal.

“Kita telah menghantar Khuzaimi Piee untuk melihat kecederaannya bagaimana.

“Walaupun jadual padat, skuad Harimau Malaya tahu apa yang perlu dilakukan dengan bantuan team sains sukan,” katanya.