PERJUANGAN skuad Harimau Malaya terhenti apabila mereka tewas perlawanan kedua peringkat separuh akhir kepada Thailand di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa.
Pemain remaja kebangsaan, Haqimi Azim Rosli dalam entri di laman sosial Instagramnya berterima kasih kepada seluruh penyokong dan Kim Pan-gon yang banyak mencurahkan ilmu sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kita menang bersama kita kalah bersama kenangan manis buat saya sebagai pemain termuda dalam pasukan. Terima kasih kepada semua pemain dan jurulatih yang banyak mengajar saya sepanjang Piala AFF kita bersama.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain dan tidak lupakan penyokong Harimau Malaya yang tak berhenti menyokong kami sepanjang Piala AFF ini, ada masa kita berjumpa lagi.
“Semoga berjaya dan selamat maju jaya untuk setiap pasukan,” kata Haqimi yang masuk sebagai pemain gantian di babak kedua semasa perlawanan.
Gol Teerasil Dangda, Bordin Phala dan Adisak Kraisorn memastikan Thailand memenangi tiket ke final Piala AFF 2022. Keputusan ini juga bermakna pasukan kendalian Pan-gon harus menelan hakikat tidak berjaya mengulangi edisi mara ke pentas akhir pada tahun 2018.
Sementara itu, Haqimi yang menyambut hari ulangtahun kelahiran ke-20 pada 6 Januari lepas turut membukukan nama sebagai penjaring Malaysia ketika menang besar mengatasi Laos, 5-0 dalam aksi Kumpulan B.
Dia kini akan kembali ke pangkuan kelab Kuala Lumpur City FC untuk mengharungi musim baharu Liga Malaysia yang dijadual bermula pada Februari depan.
ARTIKEL BERKAITAN : ‘Satu kebanggaan diri dan keluarga dapat panggilan kali pertama ke latihan pusat Harimau Malaya’ – Haqimi Azim