KETUA Jurulatih Singapura, Takayuki Nishigaya pada mulanya ingin menerapkan rentak bermain secara pengawalan bola dan berhasrat menukar rentak tersebut pada setelah ketinggalan, namun usaha tersebut tidak kesampaian dan tewas 1-4.
“Pertama sekali, kami ingin bermain secara possession dan kemudian kita cuba menukar rentak permainan kami tetapi ianya sudah terlambat,” ujarnya dalam sidang media selepas perlawanan Singapura menentang Malaysia.
Biarpun tewas , dia tidak berasa kesal dengan apa yang berlaku kerana mengakui tembok pertahanan Malaysia sangat kebal dan sukar ditembusi.
“Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku, kita cuba juga bermain serangan tetapi kita tidak berhasil memecah tembok pertahanan Malaysia,” katanya.
Melihat kejayaan pasukan Malaysia, Nishigaya mengucapkan tahniah kepada skuad kebangsaan Harimau Malaya kerana melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Bagaimanapun, dia yakin pemain Singapura mampu berkembang dan mempelajari sesuatu menerusi aksi hari ini dan yakin kepada kemampuan skuad kebangsaan Singapura yang ada pada ketika ini untuk menyerlah selepas ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada Malaysia dan Vietnam. Sudah tentu, kami sangat kecewa tetapi pemain telah melakukan yang terbaik.
“Ditambah pula dengan kehadiran penonton, ianya sangat memberi kesan kepada pasukan Singapura.
“Sudah tentu, kami harus berubah dan bermain dengan lebih baik selepas ini. Saya percaya dengan kebolehan dan kelebihan yang ada pada pemain saya,” jelasnya.