KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku sehingga pengadil menghadiahkan penalti kepada pasukan kebangsaan Vietnam.

“Sukar untuk cakap kerana saya tidak boleh melihat gambaran sebenar. Kita akan cuba analisis. Kita harus pelajari sesuatu dari perlawanan hari ini. Kita ada peluang , seharusnya kami mengambil peluang bermain dengan baik,” jelasnya ketika sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium MyDinh,Hanoi, Vietnam.

Dalam pada itu, Pan-gon mengakui kualiti yang ada pada pemain Vietnam adalah melebihi pemain pasukan kebangsaan.

“Sudah tentu, tahniah kepada pasukan Vietnam. Mereka berhak menang. Kualiti mereka lebih baik berbanding pasukan Malaysia,” ujarnya.

Jelas Pan-gon lagi, dia berada dalam keadaan yang bingung kerana tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepada pasukan kebangsaan dan akan menyemak semula video tersebut sewaktu pulang ke hotel.

“Bagi pasukan Harimau Malaya, mereka telah cuba sebaik mungkin. Kita mengawal dengan baik. Kita ada peluang untuk menang. Saya tidak tahu apa yang berlaku, kita harus lihat semula apa sebenarnya yang berlaku. Kita akan balik ke hotel dan menyemak semula apa yang berlaku,” katanya.

Mengulas perlawanan seterusnya, Pan-gon mengakui Harimau Malaya tidak mempunyai jalan lain kecuali memenangi aksi menentang Singapura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan B.

“Tiada jalan lain, ia perlawanan penting. Kita harus pulih dengan cepat. Kita juga harus merancang perlawanan seterusnya dan mencuba sebaik mungkin dalam aksi berdepan Singapura,” jelasnya.

Sementara itu, Stuart John Wilkins menganggap perlawanan seterusnya bukanlah sesuatu perlawanan mudah.

“Sudah tentu ia bukan mudah, tetapi saya memuji rakan-rakan . Vietnam mengambil peluang dengan baik tetapi kami tidak. Dalam perlawanan seterusnya, kami akan cuba menang bertemu Singapura,” katanya.