PEMAIN naturalisasi negara, Sergio Aguero nyata gembira dengan panggilan pertamanya ke skuad kebangsaan dan mahu membuktikan pemilihannya oleh barisan kejurulatihan adalah tepat.
Aguero turut mengakui sedikit sukar untuk mengadaptasi corak latihan yang dilakukan oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon kerana dia tidak dapat bermain sepanjang tahun dan kekurangan minit permainan namun dia tetap bekerja keras sepanjang latihan.
Dia juga meletakkan sasaran peribadi untuk terpilih dalam senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi kempen Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 penghujung bulan nanti.
“Saya sangat gembira untuk mewakili negara saya dan akan lakukan yang terbaik bagi pasukan ini dan mahu memastikan pemilihan saya oleh barisan kejurulatihan adalah satu pilihan yang tepat kerana ianya bukan mudah dan adalah satu tekanan buat saya.
“Sebagai pemain profesional, saya berkerja keras untuk berada di sini dan ianya tidak memeranjatkan bagi mereka yang mengenali saya pasti tahu saya berikan sepenuhnya ketika latihan. Walaupun saya tidak banyak bermain namun kita mempunyai jurulatih yang baik dengan barisan pemerhati bakat yang memilih saya berdasarkan apa yang mereka lihat ketika sesi latihan.
“Kekurangan minit permainan menyukarkan sedikit saya untuk mengikuti sesi latihan yang berintensiti tinggi namun ini bukanlah alasan dan saya cuba mengadaptasi dan akan berjuang untuk mendapatkan posisi saya dalam pasukan dengan berlatih lebih keras.
“Sasaran peribadi saya adalah untuk mendapatkan tempat dalam senarai 23 pemain ke Piala AFF dan meyakinkan jurulatih kenapa saya berada di sini untuk mewakili negara saya,” katanya ketika ditemui pada hari ketiga kem latihan pusat Harimau Malaya.
Ditanya adakah dia cukup Malaysia untuk menyarung jersi kebangsaan, Aguero berkata dia sudah enam tahun disini dan sayangkan negara ini terutama masyarakat tempatan.
Dia juga mahukan para penyokong untuk memberikan sokongan penuh kepada pemain baharu yang terpilih dalam skuad kebangsaan dan akan mereka akan memberikan 100 peratus untuk jurulatih, penyokong dan negara.