MALAYSIA dan Laos bakal bertemu sekali lagi dalam peringkat kumpulan Piala AFF selepas sering kali diundi bersama-sama dan kali ini bakal bertemu dalam perlawanan kedua Kumpulan B Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Skuad Harimau Malaya yang masih segar dengan kemenangan di laman lawan ke atas Myanmar 1-0 kini memburu kemenangan kedua sekaligus semakin mencerahkan peluang layak ke peringkat separuh akhir.
Laos pula cuba mengelak satu lagi kekalahan selepas dibelasah 0-6 oleh jaguh Asia Tenggara, Vietnam pada perlawanan pembukaan di laman sendiri dan kini berhadapan cabaran yang hebat apabila beraksi di kandang Harimau Malaya.
Perlawanan yang bakal berlangsung pada Sabtu malam di Stadium Nasional Bukit Jalil itu akan menjadi penentu laluan kedua-dua pasukan untuk terus kekal dalam kejohanan ini.
Skuad kendalian Kim Pan Gon mempunyai ramai pemain yang cergas untuk perlawanan ini dengan hanya Ahmad Khuzaimi Piee sahaja yang mengalami kecederaan dan perlu menunggu ujian imbasan untuk menentukan tahap kecederaannya.
Laos pula akan turun dengan pemain muda yang kurang pengalaman bermain di peringkat antarabangsa namun jurulatihnya Michael Weiss tidak bimbang dengan situasi ini kerana tahu kemampuan para pemainnya.
Malaysia dan Laos sudah bertemu sebanyak 17 kali dengan Harimau Malaya menang 11 kali, seri lima kali dan hanya tewas sekali. Lima pertemuan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia menang kesemua permainan.
Ketika kempen Piala AFF 2020 yang berlangsung tahun lalu, Malaysia menang dengan keputusan 4-0 hasil jaringan Shahrul Saad dan hatrik Safawi Rasid manakala pada kempen 2018 pula Harimau Malaya menang mudah 3-1.
Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon menjelaskan perlawanan di tempat sendiri ini sangat penting untuk mencipta kemenangan bagi memastikan sasaran awal untuk muncul juara kumpulan tercapai dan perlu fokus sepenuhnya untuk perlawanan ini.
“Sasaran kami jika mahu merebut tempat teratas kumpulan ialah kami perlu menjaringkan lebih gol tetapi apa pun boleh terjadi dalam bola sepak. Kami menghormati Laos dan mereka pastinya mahu mengelak satu lagi kekalahan tetapi kami akan turun dengan lebih baik untuk capai sasaran dengan pasukan teknikal kami sudah melakukan analisa penuh terhadap pasukan lawan.”
Sementara itu pengendali Laos, Michael Weiss mahu melihat pemain mana yang boleh diturunkan kerana ada beberapa pemainnya yang mengalami kecederaan dan menyatakan Malaysia adalah pasukan yang cukup berkualiti.
“Kami masih mengubati kekalahan teruk sebelum ini dan saya sedang melihat siapa yang bersedia untuk diturunkan kerana ada pemain yang mengalami kecederaan dan kami bersedia untuk bermain dengan pemain yang ada menentang Malaysia yang sememangnya berkualti dengan majoriti pemain yang sangat berbahaya.”
Jangkaan Kesebelasan Utama
Malaysia :
Syihan Hazmi, Fazly Mazlan, Sharul Nazeem, Dominic Tan, Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal, Lee Tuck, Stuart Wilkin, Safawi Rasid, Faisal Halim, Darren Lok
Laos:
Souvannasagso, Sangvilay, Siphogphan, Chanhthalagsy, Viengkham, Xaypnya, Kounthomphone, Vongchiengkham, Kektkeophomphone, Wenpaserth, Luenthala.