KETUA jurulatih Thailand, Mano Polking percaya bahawa kuasa peminat bola sepak yang memenuhi tempat duduk akan membawa pasukan itu ke peringkat akhir ketika bertemu Malaysia di Stadium Thammasat, Selasa malam.
“Kami ketinggalan satu gol daripada perlawanan pertama. Tetapi esok kami bermain di rumah di hadapan peminat setia yang memenuhi padang yang diharapkan akan menjadi kuasa untuk membantu kami mengharungi permainan ini. Matlamat kami jelas, layak ke peringkat akhir.
“Saya fikir Malaysia akan bermain dengan lebih santai berbanding sebelum ini dan cuba untuk tidak melakukan kesilapan.
“Tetapi kami bersedia untuk perlawanan esok dan yakin akan menang dan mara ke peringkat akhir,” kata jurulatih berdarah Brazil-Jerman itu.
Polking juga mengulas kembali isu gol kedua Malaysia menerusi Dominic Tan yang dibatalkan pengadil, Kim Dae Yong semasa aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 pada Sabtu lalu dan menggambarkan jaringan itu adalah ‘sah’.
“Secara jujurnya, saya lihat jaringan kedua itu adalah gol. Tetapi insiden itu memakan masa dekat lima minit.
“Dengan pelbagai insiden berlaku dan penggantian pemain dilakukan, hanya lima minit masa tambahan pula diberikan,” katanya.
Sementara itu, Kapten Changseuk, Theerathon Bunmathan turut senada dan mengucapkan terima kasih kepada semua peminat bola sepak Thailand yang akan datang untuk menyokong pasukan dalam perlawanan esok.
“Saya mahu mereka datang dan bersorak, dan akhirnya saya mahu pasukan kebangsaan Thailand mara ke pusingan akhir. Kami cuba menumpukan perhatian kepada permainan esok. Semoga ia hari yang baik untuk kita,” ujarnya.