PERASAAN kecewa masih lagi menyelubungi pemain bola sepak negara susulan terkeluar dari saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dengan cara yang tidak diingini.

Kapten Harimau Malaya, Faisal Halim tidak menjangka kekalahan 3-0 di Bangkok, Thailand sekaligus meranapkan impian Malaysia mara ke pentas akhir.

“Sudah tentu kita datang sini untuk menyajikan satu aksi yang terbaik membawa Malaysia pergi ke final.

“Tapi kita gagal dan saya sebagai kapten mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kita gagal ke final. Kami dah cuba yang terbaik. Inilah bola sepak.

“Kita tahu bukannya mudah menentang Thailand. Perbezaan level dengan kita agak jauh. Saya percaya kalau pasukan ini dikekalkan dua tiga tahun kita akan dapat result yang baik.

“Memang bukan rezeki kita dan sampai tahap ini (separuh akhir) dah membanggakan kami semua,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Stadium Thammasat pada Selasa malam.

 

Walaupun kecewa, Faisal yang juga pemain Selangor FC berharap pemain mendapat pengalaman baharu dan secukupnya pada masa depan.

“Saya percaya kalau skuad ini dikekalkan untuk dua atau tiga tahun, sudah tentu kita dapat kejayaan. Memang ia memakan masa tetapi lihat seperti apa yang dilakukan Thailand dan Vietnam.

“Pada saya coach Kim Pan-gon antara yang terbaik pernah saya rasa. Dia tahu nak guna pemain yang ada dalam permainan.

“Coach juga ikhlas dengan kerjanya,” katanya.