SKUAD Harimau Malaya dikatakan sangat berbeza dengan kejohanan yang sama tahun lalu dan dikatakan telah melakukan perubahan besar pada Piala AFF 2022.
Malaysia gagal menamatkan saingan fasa kumpulan pada edisi Piala AFF sebelum ini. Pada masa itu, pasukan negara masih dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe.
Berada dalam Kumpulan B ketika itu, Malaysia tidak mampu bersaing dengan Indonesia dan Vietnam untuk memenangi tiket ke separuh akhir. Mengumpul enam mata, kita menduduki tempat ketiga.
Kesudahannya, jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, telah diambil dan dia menunjukkan keputusan positif dalam dua perlawanan pertama Malaysia dalam Piala AFF 2022.
Malaysia hanya menang tipis 1-0 ke atas Myanmar pada perlawanan pertama. Selepas itu, tampil segar membaham 5-0 mengatasi Laos.
Pemain Vietnam, Nguyen Hoang Duc, telah menyaksikan Malaysia bermain dalam dua perlawanan di bawah regim Pan Gon. Dia melihat kelainan dalam permainan berbanding pertemuan dengan Vietnam sebelum ini.
Ketika beraksi di Singapura tahun lalu, Vietnam menang 3-0 ke atas Malaysia. Nguyen Nguang Hai, Nguyen Chong Phuong dan Hoang Duc menjadi penjaring gol Vietnam.
“Jurulatih baharu Malaysia, saya baru tahu di Piala AFF 2022.
“Saya telah melihat dua perlawanan mereka. Pelan permainan sangat baru. Mereka mengamalkan hantaran bola panjang, gaya menyerang yang pantas. Pelan permainan sangat berbeza dengan Piala AFF 2021,” kata Hoang Duc dipetik dari The Thao 247.
Kedua-dua pasukan akan bertembung di Stadium My Dinh, Hanoi malam ini. Kali terakhir Malaysia mengatasi Golden Star Warriors adalah pada 11 Disember 2014, juga dalam kejohanan Piala AFF.