PENYERANG kebangsaan, Darren Lok tidak mahu mengulas tentang insiden pengadilan yang dikatakan kontroversi tetapi dia bersetuju penalti yang diberikan itu jelas mengubah keseluruhan permainan.

Darren diturunkan sebagai penyerang utama ketika Malaysia turun berhadapan Vietnam dalam perlawanan ketiga Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 namun tidak dapat membantu skuad negara yang tewas dengan keputusan 0-3 di Stadium My Dinh.

Seperti rakan-rakan yang lain, dia turut sedar kegagalan menyempurnakan peluang adalah punca utama Harimau Malaya gagal menyekat penguasaan Vietnam dan kini hanya akan fokus kepada aksi menentang Singapura.

“Kami bermain baik terutama pada babak pertama kemudian Vietnam menunjukkan kualiti yang ada pada mereka di separuh masa kedua dan akhirnya mereka menang 3-0. Itulah Vietnam dan sejujurnya kami juga mempunyai beberapa peluang tetapi tidak dapat menyempurnakan peluang.

“Saya tidak mahu komen mengenai keputusan pengadil tetapi jelas penalti itu mengubah keseluruhan permainan. Apa yang penting sekarang kita perlu mengatasi Singapura untuk ke separuh akhir dan jika kita terus bermain seperti ini kita tidak mempunyai masalah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pemain warisan Inggeris-Malaysia itu juga berterima kasih kepada para penyokong yang hadir dan menyeru agar Stadium Nasional Bukit Jalil dapat dipenuhkan untuk membantu pasukan beraksi lebih baik ketika berhadapan Singapura nanti.

“Kepada para penyokong teruskan berada di belakang kami. Terima kasih kepada mereka yang hadir ke Stadium My Dinh ini dan berharap dapat penuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil kerana kami sentiasa perlukan sokongan anda,” tambahnya.

Malaysia akan bertemu musuh tradisi, Singapura pada 3 Januari 2023 dan hanya tiga mata penuh yang diharapkan untuk berpeluang layak ke separuh akhir.