Oleh MOHD FARIQ
PEMAIN tengah Sri Pahang FC, David Rowley tidak berseorangan di Hanoi apabila kira-kira 20 ahli ‘ultras keluarganya’ akan tiba menyokong dan membakar semangat perjuangan skuad Harimau Malaya bagi aksi ketiga Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Selasa.
Penerbangan terus dari Jerman ke Vietnam hari ini boleh disifatkan sebagai pengubat rindu Rowley yang sebelum ini terpaksa memendekkan percutian bertemu isteri kerana menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan.
Sebagai pemain profesional, Rowley yang berusia 32 tahun menyahut seruan Kim Pan Gon demi bola sepak walaupun isterinya pada awal terkejut mendengar perkhabaran tersebut selepas tiga tahun tidak pulang ke Jerman.
“Saya beritahu isteri yang saya terpaksa pulang ke Malaysia dan pada awalnya dia terkejut tetapi saya buat keputusan ini demi bola sepak meskipun sudah tiga tahun tidak berjumpa keluarga,” katanya baru-baru ini.
Rowley dan teman seperjuangan kini dalam misi meraih kemenangan penting di Stadium My Dinh bagi mengesahkan laluan mara ke peringkat separuh akhir kejohanan.
“Isteri terkejut saya pulang semula ke Malaysia tetapi mujur dia faham” – David Rowley
Atas kertas, rekod pertemuan memihak Vietnam yang cukup kebal setiap kali beraksi di halaman sendiri penyokong Golden Star Warriors. Kali terakhir Malaysia mengatasi lawan adalah pada 11 Disember 2014, juga dalam kejohanan Piala AFF.
Malaysia sedang mendahului Kumpulan B dengan meraih enam mata hasil dua kemenangan ke atas Myanmar (1-0) dan membelasah Laos (5-0).
Andai berjaya menewaskan Vietnam, Malaysia akan memperoleh + 3.241 mata ranking FIFA.
Carta Kedudukan Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022
* Selepas Hari Perlawanan 2
SINGAPURA 🇸🇬 3-2 🇲🇲 MYANMAR
MALAYSIA 🇲🇾 5-0 🇱🇦 LAOS▶️ Seterusnya Malaysia akan bertemu Vietnam pada Selasa, 27 Disember 2022#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/pzNnzAetcI
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 24, 2022