INDONESIA tidak berhadapan kesukaran untuk mencatat kemenangan kedua dalam Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 apabila mudah membenam cabaran Brunei Darussalam 7-0 untuk perlawanan Kumpulan A.
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras berubah menjadi mini Gelora Bung Karno dengan kehadiran ramai penyokong Indonesia yang memanfaatkan hari cuti umum untuk hadir ke stadium mendukung pasukan kesayangan mereka.
Pengendali Indonesia, Shin Tae-yong melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama sebagai langkah penggiliran pemain kerana jadual kejohanan yang padat namun Indonesia tetap menguasai keseluruhan permainan.
Memasuki 20 minit permainan, bekas pemain Johor Darul Ta’zim, Syahrian Abimanyu berjaya menggembirakan hampir 5,500 penyokong Indonesia di stadium apabila membuka akaun jaringan Sang Garuda apabila merembat deras bola umpanan Ilija Spasojevic.
Meskipun dilihat lebih banyak bertahan namun Brunei di bawah kendalian Mario Rivera mempunyai tiga percubaan tepat ke gawang Indonesia namun dinafikan penjaga gol Nadeo Arga Winata dan palang gol untuk menggagalkan Brunei mencipta jaringan.
Brunei terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-39 apabila pertahanan kanan, Alinur Rashimy dilayangkan kad merah selepas menghalang Saddil Ramdhani dan Indonesia menggunakan kelebihan seorang pemain untuk menambah satu lagi gol menerusi Dendy Sulistyawan tiga minit sebelum tamat babak pertama.
⏱️ #BRUvIDN 𝗙𝗨𝗟𝗟-𝗧𝗜𝗠𝗘
🇧🇳 Brunei DS 0️⃣-7⃣ Indonesia 🇮🇩
7⃣ Goals. 7⃣ Goalscorers.
Indonesia with the biggest win of the #AFFMitsubishiElectricCup2022 so far!
#BeTheGameChanger pic.twitter.com/t5BwEondkS
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 26, 2022
Walaupun mempunyai kelebihan, Indonesia memerlukan hampir 15 minit untuk menambah jaringan ketiga menerusi Egy Maulana Vikry sebelum bekas bintang Melaka United, Ilija Spasojevic menjadikan kedudukan 4-0 berselang dua minit.
Beberapa pertukaran pemain dilakukan oleh Shin Tae-yong dengan merehatkan bintang utama dan memberi pemain-pemain muda peluang untuk beraksi di peringkat tertinggi Asia Tenggara ini.
Pertukaran itu nyata membuahkan hasil apabila Ramadhan Sananta menambah gol kelima buat Indonesia yang juga adalah gol pertamanya buat pasukan senior Sang Garuda pada minit ke-69.
Pemain naturalisasi, Marc Klok melengkapkan kegembiraan kem Indonesia dengan gol keenam empat minit sebelum masa sebenar tamat sebelum Yakob Sayuri menambah satu lagi gol pada masa kecederaan untuk memberikan Indonesia kemenangan 7-0 dan yang kedua dalam kejohanan ini.
Kemenangan ini menyaksikan Indonesia kini mendahului kedudukan Kumpulan A dengan enam mata dan sembilan gol manakala Brunei tersingkir selepas tewas tiga kali berturut-turut.